COVID-19: New York anjur konsert rai pemulihan
Astro Awani
Julai 27, 2021 07:53 MYT
Julai 27, 2021 07:53 MYT
SUSULAN keadaan penularan COVID-19 yang semakin baik, New York memutuskan untuk terus melaksanakan beberapa lagi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP).
Buat kali pertama, ia membenarkan penganjuran konsert di Central Park, bagi meraikan pemulihan bandar itu daripada COVID-19.
Menurut Datuk Bandar New York City Bill de Blasio, konsert itu akan berlangsung pada 21 Ogos, yang diibaratkannya sebagai 'kehidupan baharu' buat warga kota itu.
"Namun, saya juga ingin jelaskan, kita mesti pastikan konsert ini selamat dan ia harus menjadikan kita terus bergerak ke hadapan dalam pemulihan.
"Inilah sebabnya kita adakan konsert ini. Jadi, jika anda mahu hadir ke konsert ini, pastikan anda tunjuk bukti anda sudah divaksin," katanya pada Selasa.
Namun setiap pengunjung perlu menunjukkan mereka sudah lengkap divaksin sebelum dibenarkan masuk.
Konsert itu antara lain akan menyaksikan persembahan dari selebriti seperti Paul Simon, Bruce Springsteen, Jennifer Hudson, Carlos Santana, LL Cool J dan Barry Manilow.
"Ini akan menjadi sebahagian sejarah kita," kata de Blasio mengenai konsert yang akan disiarkan secara langsung ke seluruh dunia oleh CNN.
"Bukti vaksinasi akan diperiksa sebelum dibenarkan masuk. Jika anda belum divaksinasi, dapatkannya segera, kerana anda tidak akan dibenarkan masuk tanpanya," tambahnya.