COVID-19, nama rasmi novel koronavirus
Nursyazwani Saiful Sham
Februari 11, 2020 00:02 MYT
Februari 11, 2020 00:02 MYT
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa memutuskan nama rasmi bagi novel koronavirus, iaitu COVID-19.
Menurut Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, nama tersebut diberi berlandaskan garis panduan yang ditetapkan oleh Organisasi Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dan Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO).
Jelasnya, nama baharu itu tidak merujuk kepada lokasi geografi tertentu, haiwan, individu mahupun mana-mana kumpulan budaya di dunia.
“Kami perlu mencari nama yang sesuai yang tiada kaitan dengan lokasi geografi, haiwan, individu atau mana-mana kumpulan budaya.
“Ia juga senang untuk disebut dan ada kaitan dengan wabak ini. Dengan adanya nama rasmi adalah penting bagi mengelakkan penggunaan nama lain dan timbulnya stigma.
“Ia juga memberi format standard untuk digunakan pada masa akan datang,” jelasnya pada sidang media harian berkenaan penularan koronavirus di Geneva pada Selasa.
Dalam pada itu, Tedros turut memaklumkan pihaknya telah mengaktifkan Pasukan Pengurusan Krisis oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
“Pasukan ini akan dipimpin oleh Dr Mike Ryan yang akan membantu WHO untuk memberi tumpuan terhadap perkembangan kesihatan.
“Manakala agensi lain boleh menggunakan kepakaran mereka untuk membantu impliksai sosial, ekonomi dan implikasi perkembangan semasa akibat COVID-19,” ujarnya.
Pada masa sama, Tedros turut mengingatkan agar seluruh dunia masih melakukan langkah-langkah pencegahan wabak ini.
Setakat Selasa malam, lebih 43,000 kes jangkitan COVID-19 direkodkan di seluruh dunia dengan jumlah kematian mencecah 1,019 mangsa.
#COVID-19
#koronavirus
#Pertubuhan Bangsa Bersatu
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#Tedros Adhanom Ghebreyesus
#WHO