COVID-19: Murid Korea Selatan 'kembali ke sekolah' secara dalam talian

Astro Awani
April 10, 2020 13:53 MYT
Guru dan murid di Korea Selatan memulakan proses pembelajaran secara dalam talian pada Khamis ekoran kebimbangan akibat jangkitan COVID-19. -Reuters
MURID di Korea Selatan memulakan proses pembelajaran secara dalam talian pada Khamis di negara itu ekoran kebimbangan akibat jangkitan COVID-19.
Walaupun sekolah ditutup, guru-guru bagi tahun 3 dan tahun akhir sekolah menengah rendah dan menengah 'hadir' untuk mengikuti pelajaran secara maya.
Murid-murid berusia di antara 15 dan 18 tahun mengikuti pelajaran yang distrim secara langsung pada platform penstriman popular, antaranya Google Classroom dan Zoom, dari rumah.
Tahun akademik baharu itu yang sepatutnya bermula pada 2 Mac ditangguh selama sekurang-kurangnya lima minggu menyebabkan ribuan pelajar terpaksa berkurung di dalam rumah akibat bimbang dijangkiti, lapor The Straits Times.
Pembelajaran dalam talian merangkumi setiap fasa pendidikan formal itu berlangsung dengan lancar.
Semua sekolah rendah, menengah rendah dan menengah bakal menjalani persekolahan dalam talian ini selama dua minggu.
Guru-guru di Seoul Girls High School, misalnya, dilihat berdiri di dalam kelas yang kosong bermula jam 8 pagi, mengambil kedatangan pelajar dalam talian sebelum meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran.
Namun, tidak semuanya berjalan seperti yang diharapkan. Ada sekolah dilapor mengalami masalah awal merangkumi isu teknikal.
Menteri Pendidikan Yoo Eun-hae, dalam pada itu, menggesa pelajar, ibu bapa dan murid untuk bekerjasama bagi menjayakan pembelajaran dalam talian ini ketika negara dilanda musibah COVID-19.
"Kami percaya sekolah tidak sepatutnya berhenti mengajar murid walaupun dalam krisis," kata Yoo dalam satu kenyataan.
Sekolah dibenarkan memilih tiga mod pembelajaran dalam talian:
-- pembelajaran interaktif secara langsung melalui sidang video
-- pembelajaran berasaskan kandungan berdasarkan video yang diterbitkan sekolah
-- pembelajaran berasaskan tugasan di mana pelajar diberi projek atau laporan untuk disiapkan
Perdana Menteri Chung Sye-kyun dalam pada itu berjanji untuk memastikan proses pembelajaran dalam talian ini berjalan lancar.
"Kami akan lakukan yang terbaik untuk menstabilkan situasi supaya anak-anak kita dapat ke sekolah."
#Chung Sye-kyun #COVID-19 #Korea Selatan #koronavirus #pembelajaran secara dalam talian #sekolah ditutup #sekolah rendah #Seoul Girls High School #Yoo Eun-hae
;