COVID-19: Moderna yakin 20 juta dos vaksin diperoleh sebelum akhir tahun
Rahimah Abdullah
Disember 3, 2020 09:12 MYT
Disember 3, 2020 09:12 MYT
SYARIKAT farmaseutikal Moderna yakin kira-kira 20 juta dos vaksin COVID-19 akan diperoleh sebelum akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel berkata, daripada jumlah itu, 7 juta dos sudah siap dihasilkan dan diletakkan dalam tempat simpanan sejuk beku.
"Kita berada di landasan yang betul untuk memperoleh 20 juta dos vaksin sebelum akhir tahun ini.
"Ketika ini 7 juta dos sudah ada dalam simpanan sejuk beku.
"Apabila diluluskan, kita akan terus melakukan proses vaksin dalam masa 24 jam, itu adalah kerjasama pantas kita di Amerika Syarikat.
"Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk menyediakan vaksin ini apabila mendapat lampu hijau dari pihak berkenaan," katanya dalam satu dialog Forum Ekonomi Dunia (WEF) secara maya pada Khamis.
Ujarnya, cabaran paling besar ketika ini ialah skala pembuatan, kajian kesan sampingan dan proses perundangan.
"Walau bagaimanapun, apa yang menggembirakan ialah dua minggu lalu, kami mampu melakukan penstabilan dalam proses penyimpanan sejuk beku vaksin adalah selama 30 hari antara 2 hingga 8 darjah Celsius," ujarnya.