COVID-19: Moderna sahkan vaksin berkesan tangani mutasi baharu virus

Agensi
Januari 25, 2021 07:34 MYT
Dalam kajian yang dilakukan dengan National Institutes of Health, Moderna menggunakan sampel darah daripada lapan penerima vaksin dan beberapa ekor monyet yang diimunisasi dalam ujian makmal terhadap virus yang bermutasi. - REUTERS
MODERNA mengesahkan vaksin COVID-19 buatannya dapat memberi perlindungan terhadap mutasi baharu yang dikesan.
Namun, syarikat farmaseutikal itu mengambil langkah berjaga-jaga dengan menguji kemungkinan dos penguat tambahan diperlukan terhadap mutasi yang ditemui di Afrika Selatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel, tindakan itu sebagai langkah waspada susulan ujian makmal awal menunjukkan suntikan vaksin itu menghasilkan tindak balas imunisasi yang lebih lemah terhadap mutasi tersebut.
Pengilang vaksin telah melakukan ujian terhadap mutasi baharu termasuk yang pertama kali muncul di Britain dan Afrika Selatan.
Dalam kajian yang dilakukan dengan National Institutes of Health, Moderna menggunakan sampel darah daripada lapan penerima vaksin dan beberapa ekor monyet yang diimunisasi dalam ujian makmal terhadap virus yang bermutasi.
Vaksin ini berkesan terhadap kedua-dua varian tersebut.
Tetapi para penyelidik mendapati penurunan tahap "antibodi peneutralan" enam kali ganda terhadap mutasi dari Afrika Selatan.
Menurut Moderna, syarikat itu akan mula membangunkan vaksin penguat yang disasarkan kepada mutasi baharu Afrika Selatan itu.
Sebagai tambahan, Moderna akan menguji jika memberi dos tambahan vaksin yang asli dapat membantu.
Pfizer, yang membuat vaksin COVID-19 yang serupa, sebelum ini melaporkan bahawa vaksinnya turut berkesan tangani mutasi baharu Britain.
Bagaimanapun, penyelidikan lain telah menimbulkan persoalan mengenai varian dari Afrika Selatan.
#COVID-19 #vaksin #Moderna #Afrika Selatan #Britain #Mutasi Baharu #antibodi peneutralan #dos tambahan #Stephane Bancel
;