COVID-19: Model 3D papar bagaimana virus tersebar dalam ruang tertutup
Agensi
April 11, 2020 09:19 MYT
April 11, 2020 09:19 MYT
Satu animasi digunakan untuk menunjukkan keputusan awal kajian terbaharu di Finland berkenaan COVID-19.
Kajian ini dilakukan sekumpulan penyelidik dari beberapa institusi pengajian di Finland iaitu Universiti Aalto, Institut Meteorologi Finland (FMI), Pusat Teknikal dan Inovasi VVT dan Universiti Helsinki.
Animasi itu menunjukkan bagaimana zarah aerosol yang membawa virus COVID-19 berada di udara lebih lama daripada yang disangkakan.
Keputusan awal ini sekali gus menekankan lagi kepentingan penjarakan sosial serta pentingnya mengelak berada di tempat awam yang sesak.
Video animasi itu menunjukkan 'segerombolan awan' bergerak di udara dan mengambil masa beberapa minit untuk diuraikan.
"Seseorang yang dijangkiti COVID-19, batuk dan terus berjalan, tetapi dia meninggalkan zarah partikel yang sangat kecil yang membawa COVID-19," kata Penolong Profesor Universiti Aalto, Ville Vuorinen.
Bagi batuk kering yang merupakan gejala biasa COVID-19, saiz zarah biasanya kurang daripada 15 mikrometer.
Zarah-zarah ini akan bergerak mengikut arus udara atau terapung di tempat yang sama.
"Keputusan awal menunjukkan bahawa zarah aerosol yang membawa virus itu berada di udara dalam tempoh yang lama, jadi penting untuk mengelak daripada berada di tempat tertutup yang menjadi tumpuan ramai.
''Ini mengurangkan risiko jangkitan melalui titisan (droplet), yang merupakan cara utama virus ini berjangkit," tambahnya.
Pakar penyakit berjangkit dan virologi akan menganalisis keputusan awal ini dan bagaimana ia boleh digunakan untuk kajian berkaitan COVID-19 di masa depan.
#aerosol
#animasi
#batuk
#COVID-19
#Finland
#Kajian
#koronavirus
#model
#penjarakan sosial
#penyelidik
#sesak
#udara
#virus
#zarah