COVID-19: Missouri tuntut ganti rugi daripada China
Astro Arena
April 22, 2020 09:30 MYT
April 22, 2020 09:30 MYT
Kerajaan negeri Amerika Syarikat (AS) memfailkan tuntutan ganti rugi daripada China berhubung dakwaan berkaitan COVID-19.
Tuntutan yang difailkan di mahkamah persekutuan pada Selasa itu dibuat Missouri ke atas China kerana dakwaan penipuan serta tidak melakukan tindakan yang cukup untuk menghentikan pandemik COVID-19.
Ia merupakan tuntutan pertama selepas desakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghukum China serta peranan Beijing dalam menangani isu tersebut.
China didakwa sebagai negara yang menjadi punca penularan koronavirus yang dikenal pasti berasal dari sebuah pasar eksotik di bandar Wuhan.
Missouri, yang dipimpin oleh Parti Republik diketuai Trump, menuntut jumlah ganti rugi yang tidak dinyatakan selain perintah untuk meneruskan tindakan ke atas China termasuk dakwaan pencatutan peralatan pelindungan serta kesan ekonomi yang ditanggung negeri itu.
"Pemerintah China berbohong kepada dunia tentang bahaya COVID-19.
"Mereka mesti dipertanggungjawabkan di atas tindakan ini," kata peguam Eric Schmitt.
Peluang untuk kejayaan tuntutan itu masih belum jelas kerana undang-undang AS secara umumnya melarang tindakan mahkamah terhadap pemerintah asing.
Di bawah kepemimpinan konservatif, Missouri telah mengenakan sekatan COVID-19 yang lebih longgar berbanding kebanyakan negeri AS.
Ia termasuk membenarkan perniagaan dibuka asalkan jumlah pengunjung dihadkan dan langkah penjarakjan dilaksanakan.