COVID-19: 'Miracle' Larry sembuh selepas 128 hari dirawat di hospital

Azyyati Ahmad
Julai 24, 2020 12:05 MYT
Larry Kelly juga digelar sebagai 'Miracle Larry' sebelum ini menerima bantuan ventilator selama 51 hari ketika rawatan dijalankan. - Gambar agensi
Seorang lelaki warga New York yang dirawat selamat 128 hari kerana dijangkiti COVID-19 akhirnya sembuh dan dibenarkan keluar hospital.
Larry Kelly, 64 tahun, juga digelar sebagai 'Miracle Larry' sebelum ini menerima bantuan ventilator selama 51 hari ketika rawatan dijalankan.
Sebelum ini doktor pernah memberitahu isteri Larry bahawa suaminya kemungkinan tidak ada peluang untuk sembuh.
“Saya berada dalam koma, ia berlaku dengan pantas. Saya antara pesakit terawal dan terpaksa menggunakan ventilator selepas tiga hari dimasukkan ke hospital,” kata Larry ketika ditemui media.
Bagaimanapun oleh kerana semangat kental dan tidak putus asa oleh pasukan doktor, Larry berjaya sembuh.
Larry disahkan positif COVID-19 pada Mac lalu, sebelum dibenarkan keluar dari Pusat Kesihatan Jewish Home.
Larry juga merupakan pesakit kedua COVID-19 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Mount Sinai Morningside, New York.
Sebaik keluar, Larry memberitahu bahawa beliau akan ke bar kegemarannya di Manhattan dan satu sambutan meraikannya akan diadakan di situ.
#COVID-19 #COVID-19 Survivor #koronavirus #Larry Kelly #lelaki #Mount Sinai Morningside #New York
;