COVID-19: Migran di Asia Pasifik berdepan risiko
Bernama
Disember 18, 2020 07:49 MYT
Disember 18, 2020 07:49 MYT
BANGKOK: Wabak COVID-19 dan kejatuhan sosioekonomi turut mencetuskan risiko kepada migran di Asia Pasifik, menurut Laporan Migrasi Asia-Pasifik 2020 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Migran cenderung dijangkiti virus, tidak mendapat akses rawatan kesihatan dan perkhidmatan penting lain, terkandas tanpa pekerjaan, tiada perlindungan sosial selain berdepan peningkatan xenofobia.
“Tidak seperti warganegara, migran pada umumnya tidak termasuk dalam peruntukan jaminan sosial. Migran juga terjejas akibat sekatan dan penutupan sempadan, menyebabkan golongan rentan terdedah kepada eksploitasi dan penganiayaan.
"Pengecualian migran ini menimbulkan ancaman besar terhadap hak asasi manusia dan kesejahteraan mereka. Ia juga mungkin akan memberi kesan terhadap usaha pengurangan kemiskinan di rantau ini dan membina masyarakat lebih kukuh, inklusif dan berdaya tahan.
"Jumlah kiriman wang migran ke wilayah Asia Pasifik, yang meningkat dari US$183 bilion pada 2009 menjadi US$330 bilion pada 2019, menurun disebabkan COVID-19, menyebabkan banyak isi rumah migran tidak mempunyai sumber pendapatan utama," dedah laporan itu.
Menurut laporan itu lagi, aliran migrasi antarabangsa di Asia Pasifik untuk tempoh 30 tahun kebelakangan ini meningkat kepada 65 juta pada tahun 2019.
"Hampir 107 juta orang dari Asia dan Pasifik tinggal di luar negara kelahiran mereka pada 2019 - bersamaan 2.2 peratus daripada jumlah penduduk di rantau ini.
"Sebilangan besar pendatang yang direkodkan terdiri pekerja migran, menyumbang kepada pembangunan yang mampan di negara asal dan destinasi,” katanya.
-- BERNAMA
TAG: laporan, migran, Asia Pasifik, COVID-19
#migran
#Asia Pasifik
#risiko
#rawatan kesihatan
#virus
#perkhidmatan penting
#hak asasi
#kemiskinan
#sempadan
#sekatan
#rentan
#PBB
#laporan migrasi
#aliran migrasi
#tiada kerja