COVID-19: Mesyuarat khas Menteri-Menteri Luar China, ASEAN pada Rabu
Agensi
Februari 17, 2020 23:07 MYT
Februari 17, 2020 23:07 MYT
China dan ASEAN akan mengadakan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar di Vientiane, Laos
bagi membincangkan mengenai jangkitan novel koronavirus (COVID-19).
Menurut Menteri Luar China, Geng Shuang, mesyuarat itu akan berlangsung selama tiga hari bermula Rabu, 19 Februari.
Memetik laporan AP, keputusan mengadakan mesyuarat khas itu dipersetujui dalam tempoh yang singkat sebagai bukti usaha kedua-dua pihak bersama menangani wabak tersebut.
Jelas Geng, China dan negara-negara ASEAN memiliki tradisi membantu apabila berlaku bencana dan berkongsi kebaikan bersama.
Pada 20 Februari, kedua-dua pihak akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu COVID-19 termasuk bertukar pandangan secara mendalam untuk menangani wabak tersebut.
Di samping itu, perbincangan tersebut akan memberi perhatian mengenai usaha yang boleh dilakukan bersama dalam menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat di rantau ini.
Mesyuarat yang akan dipengerusikan bersama Menteri Luar China, Wang Yi serta Setiausaha Luar Filipina merangkap Koordinator Hubungan China-ASEAN, Teodoro Lopez Locsin akan turut dihadiri beberapa pakar kesihatan dari negara terlibat.
Mengulas lanjut Geng berkata, Wang akan menjelaskan langkah-langkah tegas yang diambil negara Tembok Besar itu dalam menangani COVID-19.
Di samping itu, kata beliau, galakan terhadap kesemua negara untuk mengekalkan perdagangan ekonomi dan sosial serta meneroka mekanisma penjagaan kesihatan jangka panjang.
Pada Sabtu lalu, Pengerusi ASEAN dalam kenyataan menyatakan sokongan terhadap usaha-usaha besar yang dilakukan Kerajaan China untuk menangani COVID-19.
Pada 2003, para pemimpin dari China dan ASEAN telah mengadakan mesyuarat khas bagi menangani wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).