COVID-19: Mesir mula ujian kajian vaksin tempatan
Astro Awani
November 15, 2021 09:15 MYT
November 15, 2021 09:15 MYT
KAHERAH: Badan Kajian Kebangsaan Mesir akan memulakan ujian klinikal vaksin COVID-19 buatan tempatan.
Pemangku Menteri Kesihatan negara itu, Khaled Abdel Ghaffar memaklumkan, kementeriannya akan menjalankan ujian klinikal terhadap vaksin yang dinamakan sebagai 'Covi Vax' bermula dengan puluhan individu.
Jelasnya, ia kemudian akan diperluaskan kepada ratusan rakyat dan kemudian akan melibatkan ribuan orang.
Vaksin buatan Mesir itu telah diiktiraf dalam senarai pengeluaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
12 November lalu, 12 vaksin COVID-19 di bawah senarai pengeluaran seluruh dunia dikategorikan sebagai pra-ujian klinikal.
Namun, susulan pengumuman Mesir ini, ia bermakna para pengkaji sudah bergerak satu langkah ke hadapan dan kini sudah memulakan suntikan kepada mereka yang terlibat.
Menurut Ghaffar lagi, ini adalah usaha penting dalam memastikan vaksin tempatan yang dibangunkan dapat digunakan pada masa hadapan.
Untuk rekod, lebih 14 peratus populasi rakyat Mesir sudah melengkapkan vaksinasi mereka.
Mesir bergantung kepada vaksin yang disumbangkan melalui inisiatif COVAX.