COVID-19: Mesir kuat kuasa sekatan lebih ketat
Astro Awani
Mei 5, 2021 07:02 MYT
Mei 5, 2021 07:02 MYT
MESIR akan menguatkuasakan sekatan yang lebih ketat susulan peningkatan kes COVID-19.
Menurut Perdana Menteri Mustafa Madoubly, ia termasuk melarang semua acara, pesta hiburan dan perhimpunan bagi tempoh dua minggu bermula Khamis.
Pada masa sama, restoran, kedai-kedai, kafe dan pusat beli belah akan ditutup pada jam 9 malam setiap hari.
“Bermula esok, semua kedai-kedai, pusat beli-belah, kafe, restoran dan pawagam akan ditutup pada jam 9 malam.
"Ini bermakna semua fasiliti yang dimaklumkan ini akan ditutup untuk mengurangkan jumlah orang ramai berkumpul di tempat-tempat tersebut.
“Cuti Aidilftiri adalah untuk tempoh lima hari bermula Rabu sehingga Ahad dan pada tempoh tersebut semua tempat awam termasuk pantai dan taman akan ditutup,” jelasnya pada Rabu.
Menurut Mustafa lagi, sekatan lebih ketat itu terpaksa dikuatkuasakan susulan ketidakpatuhan orang ramai terhadap SOP yang ditetapkan termasuk tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.
Sejak bermulanya pandemik, negara itu tidak melaksanakan sekatan penuh susulan kebimbangan ketidaktentuan ekonomi.
Namun ia terpaksa dilakukan susulan peningkatan kes harian sehingga lebih 1,000 kes sejak beberapa minggu lalu.
#SOP
#ekonomi
#Mesir
#COVID-19
#pandemik
#pelitup muka
#sekatan
#Mustafa Madoubly
#hiburan
#perhimpunan