COVID-19 menular ke barat dunia, Iran dan Itali dilanda selesema
Razak Chik
Februari 24, 2020 00:06 MYT
Februari 24, 2020 00:06 MYT
IRAN dan Itali beribu batu jauh dari China tetapi wabak selesema yang berasal dari Wuhan sudah menular ke arah barat peta dunia pada kadar yang membimbangkan.
Pada hujung minggu, Itali mencatatkan 165 kes penularan – jumlah kes penularan paling besar di Eropah.
Wilayah terbabit – Lombardy (dua kematian di lapor pada Isnin) dan Veneto diletakkan dalam perintah kurungan (lockdown) oleh kerajaan Itali.
Untuk jangka masa dua minggu, lebih 50,000 penduduk di kedua-dua wilayah tersebut perlu mendapat kebenaran jika ada urusan di wilayah lain.
Sehingga kini, belum ada pengesahan bagaimana virus korona baharu ini mula menular di Itali.
Di Iran pula, Timbalan Menteri Kesihatan Iraj Harirchi melapor negara itu mencatat 12 kematian dan 61 kes jangkitan, majoriti di kota Qom.
Salah satu kematian itu merupakan seorang peniaga yang beberapa kali berulang-alik antara Iran dan China.
Lebih membimbangkan, peniaga terbabit tidak mengambil penerbangan terus-menerus dari China pulang ke Iran tetapi sebaliknya menggunakan khidmat perantara (connecting flight).
Jumlah kematian dipertikai agensi separa-rasmi ILNA (berbanding IRNA) yang mendakwa sudah terdapat 50 kematian akibat COVID-19 di Iran.
Pada Isnin, Afghanistan, Kuwait dan Bahrain melapor kes pertama negara masing-masing – kesemuanya berpunca dari pembawa virus yang tiba dari Iran.
Mengarah ke timur, Korea Selatan mencatat jumlah kes COVID-19 paling tinggi di luar China.
Sebanyak 231 kes jangkitan baharu dilapor pada Isnin membawa jumlah penularan setakat ini kepada 830 kes dengan lapan kematian.
Dalam kalangan anggota tentera, seramai 7,700 anggota dikenakan perintah kuarantin dengan 11 kes yang disahkan COVID-19.
Lebih membimbangkan, kluster penularan terbesar berlaku di kota Daegu melibatkan pengikut gereja dan sebuah hospital di Seoul.
Dalam kedua-dua kes, identiti pesakit pemula (index patient) masih belum ditemui yang perlu bagi membantu pihak kesihatan mengesan jejak penularan.