COVID-19: Mayat tidak dituntut, dibiar bergelimpangan atas jalan

Agensi
April 3, 2020 12:02 MYT
Mayat mangsa dibiarkan di hospital dan klinik tanpa ada waris yang datang menuntut. -AP
Ketika kes jangkitan COVID-19 di seluruh dunia mencecah 1 juta dengan lebih 51,000 terkorban, sebuah negara di Amerika Selatan bergelut dengan jumlah kematian yang tidak dapat disempurnakan.
Ecuador yang terletak di barat Amerika Selatan kini hampir lumpuh akibat penularan COVID-19.
Peningkatan kes kematian di republik itu menyaksikan mayat dibalut dengan plastik dan dibiarkan bergelimpangan di tepi jalan, lapor agensi berita United Press International (UPI).
Datuk bandar Guayaquil, Cynthia Viteri berkata mayat mangsa dibiarkan di hospital dan klinik di situ tanpa ada waris yang datang menuntut.
“Mereka tinggalkan korban di kampung, mereka biarkan mayat bergelimpangan di hadapan hospital.
“Tiada siapa yang ingin menuntut (mayat),” kata Viteri menerusi satu mesej video.
Difahamkan, Viteri ketika itu turut menjalani proses kuarantin selepas disahkan positif COVID-19.
Katanya, urusan jasad yang tidak dituntut sebelum ini dibuat dengan menyimpannya di dalam kargo pendingin sementara pihak kementerian mencari jalan penyelesaian untuk mendapatkan keranda baharu yang lebih khusus.
Republik Ecuador, pada Khamis, mencatatkan 3,1000 kes jangkitan dengan 120 kematian melebihi negara Amerika Selatan lain seperti Brazil dan Chile.
#Brazil #Chile #COVID19 #Ecuador #Itali #kematian #koronavirus #pengebumian mangsa COVID
;