COVID-19: Macron rayu rakyatnya dapatkan suntikan penggalak
Astro Awani
November 10, 2021 09:22 MYT
November 10, 2021 09:22 MYT
PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron rayu agar rakyatnya mendapatkan suntikan penggalak bagi mengekang peningkatan semula kes COVID-19 yang kini menimbulkan kebimbangan di seluruh Eropah.
Kata Macron, mereka yang berumur lebih 65 tahun dan telah mendapat vaksin lebih enam bulan lalu perlu mendapatkan suntikan penggalak segera jika mahu pas kesihatan mereka kekal sah.
Macron juga akan meningkatkan penguatkuasaan bagi pas kesihatan untuk ke tempat awam dan juga restoran di Perancis.
Kata Macron, suntikan penggalak pada masa ini dibenarkan untuk sesiapa yang berumur lebih 65 tahun atau kepada yang mempunyai keadaan kesihatan tertentu.
Bagaimanapun, ia akan diperluaskan kepada mereka yang berumur 50 tahun ke atas menjelang Disember.
Macron menegaskan bahawa kebanyakan mereka yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan COVID-19 juga terdiri daripada mereka yang enggan divaksinasi.
Setakat ini, hampir 75 peratus penduduk Perancis telah mendapat vaksin lengkap. Daripada jumlah itu, 88 peratus adalah populasi dewasa.
Bagaimanapun jumlah itu kian mendatar dalam beberapa minggu kebelakangan ini.