COVID-19: Lonjakan kes tertinggi, Indonesia tetap laksana sekatan skala mikro
Khairunnisa Kasnoon
Jun 22, 2021 05:25 MYT
Jun 22, 2021 05:25 MYT
WALAUPUN keadaan penularan COVID-19 di Indonesia tidak begitu baik, pemerintah bagaimanapun memilih untuk tidak melaksanakan sekatan penuh.
Sebaliknya, mulai semalam (22 Jun), kerajaan Indonesia kembali meneruskan pelaksanaan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Berskala Mikro (PPKM) sehingga 5 Julai, dengan mengetatkan lagi beberapa aktiviti sosio ekonomi.
Ini kerana, menurut wartawan Kompas TV Nitia Anisa, kerajaan Indonesia mempertimbangkan faktor kestabilan ekonomi dan bagaimana memastikan rakyatnya terus aman.
"Sebagai contoh di Jakarta, sekatan dilaksanakan bermula jam 10 malam hingga 4 pagi di 10 wilayah paling sibuk," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Indonesia merekodkan 13,668 kes baharu jangkitan COVID-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes di republik itu kepada 2,018,113 kes.
Pada masa sama, 335 lagi kematian dicatatkan, menjadikan keseluruhan angka korban setakat semalam sebanyak 55,291.
Dalam pada itu, Nitia memberitahu, sehingga kini, kira-kira 23 juta rakyat Indonesia berusia 18 tahun ke atas telah menerima dos pertama vaksin COVID-19.
"Yang telah selesai dan lengkap divaksinasi (menerima kedua-dua dos suntikan) sekitar 12 juta. Sasarannya masih 40 juta.
"Harapannya, supaya Indonesia segera bebas dari pandemik COVID-19 dan paling utama dapat membentuk imuniti kelompok," katanya lagi.
Pada Isnin, Jakarta mencatat lonjakan kes tertinggi dalam tempoh 24 jam dengan 5,014 kes tambahan.
Lonjakan kes juga dilaporkan di Jawa Tengah dan Jawa Barat, masing-masing dengan 3,252 dan 2,719 kes.
#Indonesia
#Jakarta
#ekonomi
#COVID-19
#pandemik
#vaksin
#angka korban
#suntikan
#dos pertama
#jangkitan
#imuniti kelompok
#sekatan
#mikro
#PPKM
#kes positif