COVID-19: Lonjakan kes cetus kebimbangan doktor di hospital Jakarta
Astro Awani
Julai 2, 2021 07:50 MYT
Julai 2, 2021 07:50 MYT
JAKARTA: Doktor di Indonesia sudah tidak bersedia untuk kemasukan pesakit COVID-19 selepas berlaku lonjakan kes di negara itu.
Seorang doktor di di selatan Jakarta, Cheras Sjarfi berkata hospital awam kecil tempat dia bertugas hanya dilengkapi alatan untuk rawatan kesihatan asas.
Namun hospital itu terpaksa merawat pesakit COVID-19 walaupun kekurangan mesin ventilator dan kadang kala memerlukan mereka dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
Dr Sjarfi berkata keadaan hospital-hospital kecil di Jakarta menunjukkan betapa teruknya situasi tersebut.
Pakar perubatan awam berusia 28 tahun itu berkata, beliau tahu keadaan akan menjadi buruk apabila semua pesakit diklasifikasikan sebagai disyaki positif COVID-19 dalam masa seminggu.
Bergelut dengan wabak terburuk di Asia Tenggara, negara berpopulasi keempat terbesar dunia itu mencatatkan peningkatan kes harian dengan Khamis lalu sebanyak 24,834 bersama 504 kematian.
Lonjakan itu menjadikan negara itu sukar untuk memindahkan pesakit yang parah dan hospital bandar berkapasiti 93 peratus minggu ini.
Hospital di seluruh Jawa juga dilaporkan hampir penuh.
Dr Sjarfi menambah, pihaknya menerima pesakit dengan sebaik mungkin dengan memberikan mereka oksigen, pemeriksaan tekanan darah dan mengawasi mereka.
Namun, katanya, sekiranya keadaan pesakit semakin buruk, kemungkinan besar hospital lain tidak dapat menerima mereka, justeru mereka berkemungkinan besar akan meninggal dunia di situ.
Ketika ini Dr Sjarfi bekerja selama 12 jam sehari dua kali ganda daripada biasa selepas beberapa rakan sekerjanya dijangkiti wabak itu walaupun telah divaksinasi sepenuhnya.
Pihak berkuasa Indonesia telah mengumumkan sekatan baharu bermula Sabtu termasuk larangan pergerakan dan perjalanan udara serta penutupan perniagaan tidak penting.
Kebimbangan kini meningkat sekiranya Dr Sjarfi juga dijangkiti COVID-19, namun beliau tetap berfikiran positif.
#Jakarta
#COVID-19
#ICU
#Cheras Sjarfi
#unit rawatan rapi
#Indonesia
#hospital awam kecil
#rawatan kesihatan asas
#pandemik
#wabak