COVID-19: Lonjakan kes ancam pemulihan ekonomi EU

Astro Awani
November 25, 2021 09:03 MYT
Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) menjangkakan penularan semakin meningkat kesan daripada varian Delta. - Foto REUTERS
BRUSSELS: Lonjakan besar dalam kes COVID-19 sejak beberapa minggu lalu mengancam pemulihan Kesatuan Eropah (EU) daripada kemerosotan ekonomi terburuk kesan penularan koronavirus tahun lalu.
Menurut Pesuruhjaya Ekonomi EU, Paolo Gentiloni, prospek unjuran ekonomi yang diletakkan dua minggu lalu kini diragui.
"Pakej ini adalah berdasarkan ramalan musim luruh yang kami bentangkan beberapa minggu lalu. Ia adalah gambaran pertumbuhan kukuh yang didorong oleh permintaan dalam negeri, tetapi dengan beberapa cabaran semakin meningkat dan memerlukan kami terus berwaspada untuk mengelak daripada melihat pemulihan meleset.
"Masalah pertama ini melibatkan peningkatan berterusan dalam jangkitan COVID-19 dan pengenalan semula sekatan di semakin banyak negara anggota," katanya.
Malah, pakar perubatan meramalkan keadaan boleh menjadi lebih buruk.
Menurut Gentiloni masalah utama ketika ini adalah peningkatan berterusan jangkitan COVID-19.
Apatah lagi semakin banyak negara anggota EU memperkenalkan semula sekatan.
Sehubungan itu, ramalan positif untuk pertumbuhan tahun ini masih boleh terjejas.
Pakar perubatan bagaimanapun memberi amaran tentang lebih banyak cabaran.
Mereka juga menggesa langkah segera yang boleh memberi kesan kepada sektor penting seperti restoran, bar dan industri pelancongan yang sudah teruk dilanda virus tahun lepas.
Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) menjangkakan penularan semakin meningkat kesan daripada varian Delta.
#COVID-19 #EU #lonjakan kes #Paolo Gentiloni
;