COVID-19: Lelaki kelaparan serah diri minta ditahan

Astro Awani
April 13, 2020 13:51 MYT
Suspek dikatakan kelaparan selepas kehilangan kerja dan tidak dapat pulang ke kampung akibat sekatan pergerakan. Gambar hiasan.
SEORANG lelaki bertindak nekad memasuki balai polis dengan membawa sebiji pil Methamphetamine sebelum meminta ditangkap, semata-mata bagi membolehkan dia mendapat makanan ketika dalam tahanan.
Dalam kejadian di Phuket pada Sabtu, suspek berusia 20 tahun yang dipercayai kelaparan itu mengejutkan anggota polis yang bertugas di balai berkenaan dengan perbuatannya.
Timbalan Ketua Balai Polis Wichit, Lt Kol Thammasant Boonsong, berkata siasatan mendapati, suspek kehilangan kerja sebagai jururelektrik di pulau peranginan berkenaan berikutan sekatan pergerakan akibat COVID-19.
"Dia memberitahu, selepas kehilangan kerja dia tidak boleh meninggalkan pulau berkenaan untuk pulang ke kampung di Phatthalung, selatan Thailand, disebabkan perintah sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan.
"Lelaki itu memberitahu polis, jika dipenjarakan, dia sekurang-kurangnya diberi makanan secara tetap," katanya seperti dilaporkan Bangkok Post.
Beliau berkata, suspek ditahan kerana memiliki dadah dan polis melakukan pemantauan rapi terhadapnya kerana bimbang dia mengalami masalah mental serta bertindak mencederakan diri sendiri.
#Bangkok #Dadah #kelaparan #koronavirus #lelaki #polis #siasatan #suspek #Thailand
;