COVID-19: Lebih ramai kanak-kanak dijangka dijangkiti varian Delta

Astro Awani
Ogos 12, 2021 07:04 MYT
Langkah terbaik bagi melindungi golongan yang belum menerima suntikan vaksin ini adalah dengan memastikan ibu bapa mereka sudah divaksinasi. - Gambar hiasan/AP
PAKAR penyakit berjangkit menjangkakan Amerika Syarikat bakal menyaksikan lebih ramai kanak-kanak dijangkiti COVID-19.
Menurut Dr Anthony Fauci, ia susulan penularan varian Delta yang lebih cepat menular yang kini dilaporkan di banyak negara di seluruh dunia.
Varian tersebut kini dilaporkan di 117 negara.
Bagaimanapun, ia masih belum jelas sama ada kanak-kanak yang dijangkiti varian Delta akan menyebabkan komplikasi terhadap golongan ini.
"Varian Delta ini lebih pantas menular berbanding Alpha. Oleh sebab itu, jangkitan dalam kalangan kanak-kanak dijangka akan meningkat dan walaupun mereka dalam golongan peratusan kecil, namun peratus itu bakal menyaksikan mereka perlu menerima rawatan di hospital.
"Beberapa kajian antarabangsa turut mendapati varian Delta menyebabkan komplikasi teruk dalam kalangan golongan dewasa," katanya.
Justeru itu, langkah terbaik bagi melindungi golongan yang belum menerima suntikan vaksin ini adalah dengan memastikan ibu bapa mereka sudah divaksinasi.
#COVID-19 #Varian Delta #Kanak-kanak #Dr Anthony Fauci
;