COVID-19: Lebih banyak suntikan penggalak mampu lawan Omicron

Astro Awani
Januari 21, 2022 07:54 MYT
Kajian pertama dilakukan ke atas jumlah kemasukan ke hospital dan bilik kecemasan dan ICU dari Ogos sehingga bulan ini.
MICHIGAN: Beberapa kajian yang dikeluarkan pada Jumaat memperlihatkan lebih banyak bukti bahawa vaksin COVID-19 dapat melawan varian Omicron, terutama suntikan penggalak.
Ia merupakan kajian Amerika Syarikat yang pertama melihat perlindungan vaksin terhadap Omicron.
Kajian itu juga mendedahkan tentang penyelidikan sebelum ini di Jerman, Afrika Selatan dan United Kingdom yang menunjukkan suntikan penggalak meningkatkan perlindungan dengan ketara.
Kajian pertama dilakukan ke atas jumlah kemasukan ke hospital dan bilik kecemasan dan ICU di 10 negeri, dari Ogos sehingga bulan ini.
Ia mendapati keberkesanan vaksin adalah yang terbaik selepas tiga dos vaksin Pfizer atau Moderna dalam mencegah jangkitan COVID-19 dan kemasukkan ke ICU.
Perlindungan dua dos menurun daripada 94 peratus semasa gelombang Delta kepada 82 peratus semasa gelombang Omicron terutama selepas tempoh penerima dos kedua sudah lebih enam bulan.
Kajian kedua memfokuskan kepada kes COVID-19 dan kadar kematian di 25 negeri dari awal April hingga Krismas.
Individu yang mengambil suntikan penggalak mempunyai perlindungan tertinggi terhadap jangkitan COVID-19, baik semasa varian Delta atau Omicron.
Kedua-dua artikel itu diterbitkan dalam talian oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Tiga suntikan vaksin Pfizer dan Moderna dilihat berkesan sebanyak 67 peratus perlindungan terhadap penyakit simptomatik berkaitan Omicron berbanding dengan mereka yang tidak divaksinasi.
Manakala dua dos, tidak menawarkan perlindungan yang ketara terhadap Omicron.
#COVID-19 #vaksin #dos penggalak #Omicron
;