COVID-19: Lebih 2,000 kes varian India dikenal pasti di UK

Astro Awani
Mei 17, 2021 06:10 MYT
Ujian saringan besar-besaran dilakukan di Bedford yang mana ia dikenal pasti sebagai bandar kedua yang mencatatkan peningkatan kes. - Foto REUTERS
LONDON: Setiausaha Kesihatan United Kingdom, Matt Hancock memaklumkan 86 pihak berkuasa tempatan melaporkan lebih lima kes yang disahkan varian baharu COVID-19 yang pertama kali dilaporkan di India.
Ini jelasnya, menjadikan jumlah keseluruhan kes melibatkan varian tersebut adalah sebanyak 2,323 kes.
"Ketika ini terdapat 2,343 kes melibatkan varian B.1617.2 di UK - 483 kes dilaporkan di Bolton dan Blackburn serta Darwen, yang mana ia adalah varian utama ketika ini.
"Jumlah ini juga merupakan dua kali ganda sejak minggu lalu dan meningkat dalam kalangan semua usia," katanya.
Jelasnya lagi, kebanyakan kes yang menerima rawatan akibat varian baharu di hospital itu layak untuk mendapat suntikan vaksin COVID-19.
Bagaimanapun, mereka masih belum disuntik sehingga kini.
Justeru itu tegasnya, kepentingan mendapatkan suntikan vaksin adalah perkara utama ketika ini.
Setakat ini, ujian saringan besar-besaran dilakukan di Bedford yang mana ia dikenal pasti sebagai bandar kedua yang mencatatkan peningkatan kes.
Kes melibatkan varian baharu dilaporkan dua kali ganda di UK, sekali gus menyaksikan peningkatan kes secara drastik.
Setakat ini Britain mencatatkan lebih 128,000 kematian berkaitain virus COVID-19.
#COVID-19 #varian baharu #India #United Kingdom #UK
;