COVID-19: Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai kembali sibuk

Khairunnisa Kasnoon
Oktober 27, 2020 19:21 MYT
Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai itu sedang dalam persiapan pemulihan semula untuk jangka masa panjang. -Reuters
LAPANGAN terbang paling sibuk di dunia, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai kembali sibuk selepas lama menyepi akibat penularan COVID-19.
Ketika ini, lapangan terbang itu sedang dalam persiapan pemulihan semula untuk jangka masa panjang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Paul Griffiths memberitahu, selepas syarikat penerbangan Emirates kembali meneruskan operasinya yang dihentikan sejak Mac lalu, jumlah penumpang di lapangan terbang itu meningkat hingga lebih daripada sejuta orang sebulan.
Dalam usaha meningkatkan kedatangan penumpang namun mementingkan keselamatan semua pihak, Griffithhs menggesa semua negara mengenakan kuarantin mandatori kepada semua penumpang yang tiba di Dubai.
Ia termasuk melakukan ujian saringan sebelum berlepas, memakai pelitup muka ketika dalam pesawat dan ketika saringan semasa tiba.
"Apa yang harus kita lakukan adalah mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengawal dan mengurus risiko.
"Maksud saya, kehidupan penuh dengan pengurusan risiko.
"Tidak semuanya penuh dengan penghapusan risiko," kata Griffiths dalam temu bual pada Isnin.
"Tentunya hal yang sama harus berlaku pada virus. Kita harus mengendalikannya untuk meminimumkan risiko jangkitan," tambahnya lagi.
Beliau juga percaya jika penumpang mengikut peraturan dengan betul, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan, risiko jangkitan dapat dikurangkan.
#Dubai #pesawat #penerbangan #COVID-19 #ujian saringan #pelitup muka #Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai #kembali sibuk
;