COVID-19: AS labur AS$1 bilion untuk kit ujian pantas
Astro Awani
Oktober 6, 2021 07:44 MYT
Oktober 6, 2021 07:44 MYT
AMERIKA SYARIKAT akan membeli 180 juta ujian saringan pantas COVID-19 (RTK Antigen) dengan harga AS$1 bilion.
Ia penambahan kepada rancangan pembelian RTK Antigen bernilai AS$2 bilion yang diumumkan pada September.
Pembelian itu akan membantu melipatgandakan hasil keputusan ujian saringan Amerika Syarikat pada bulan Disember kepada sekitar 200 juta ujian setiap bulan.
Kata Penyelaras Tindak Balas Koronavirus White House, Jeff Zients, pihaknya akan terus memperluaskan pengeluaran pembuatan kit ujian saringan COVID-19 yang akan memberi kesan untuk penurunan harga bagi memastikan ia tersedia secara meluas dan mudah didapati.
"Hari ini kita membuat pelaburan bernilai AS$1 bilion lagi untuk menggerakkan pengeluar kit ujian.
"Ini bermakna syarikat akan dapat memperluas pengeluaran kit ujian lebih jauh berdasarkan komitmen kerajaan Amerika Syarikat untuk mendapatkan tambahan 180 juta kit ujian pantas selama tahun depan, dengan puluhan juta lebih banyak kit ujian yang akan dipasarkan dalam masa 30 hari dari sekarang," katanya.
Kerajaan juga akan menggandakan jumlah farmasi yang bekerjasama untuk memberikan kit ujian COVID-19 secara percuma kepada 20,000 farmasi.
Permintaan untuk kit ujian COVID-19 meningkat daripada pihak majikan di Amerika Syarikat membuatkan berlaku kekurangan kit tersebut di beberapa negeri sekaligus menyaksikan lonjakkan harga.
Purata jumlah kes COVID-19 di Amerika Syarikat menurun sebanyak 12 peratus dalam tempoh tujuh hari terakhir kepada hampir 98,000 orang.
Kemasukan ke hospital turut menyaksikan penurunan 14 peratus kepada 7,400 kes.