COVID-19: Kubur besar digali tampung anggaran 24 mayat sehari

Agensi
April 10, 2020 08:00 MYT
Buruh kontrak diupah di New York untuk mengebumikan mayat di Pulau Hart selepas bandar itu mencatat jumlah kematian tinggi dalam tiga hari kebelakangan ini. -AP
Buruh kontrak diupah di New York untuk mengebumikan mayat di Pulau Hart selepas bandar itu mencatat jumlah kematian tinggi dalam tiga hari kebelakangan ini.
Dengan angka kematian melebihi 5,000 sehingga kini, mayat mangsa COVID-19 turut dikebumikan di kubur-kubur besar.
Menurut pihak berkuasa, kawasan ini sahaja menerima peningkatan lima kali ganda operasi pengebumian berbanding tempoh biasa.
Rumah mayat di New York juga sudah tidak cukup tempat untuk menampung angka korban yang semakin meningkat.
Tempoh simpanan mayat yang tidak dituntut kini dipendekkan kepada hanya 14 hari sebelum mayat dikebumikan.
Bandar New York sejak abad ke-19 lagi telah menggunakan lokasi di Pulau Hart untuk menguburkan mayat tanpa waris terdekat atau keluarga yang tidak dapat mengaturkan pengebumian.
Lazimnya, 25 mayat dikebumikan setiap minggu oleh penghuni penjara berpendapatan rendah yang bekerja di pulau itu, yang terletak di pantai timur bandar Bronx dan boleh diakses hanya dengan bot.
Bagaimanapun, jumlah itu mula meningkat pada Mac ketika koronavirus tersebar dengan cepat, sekali gus menjadikan New York sebagai pusat penularan pandemik.
Mereka kini menguburkan kira-kira 24 mayat sehari untuk lima hari dalam seminggu, kata jurucakap pemantau kawasan Jason Kersten.
Untuk proses pengebumian di pulau tersebut, mayat dibungkus dengan beg mayat dan diletakkan di dalam keranda.
Nama mayat ditulis dengan huruf besar pada setiap keranda dan dikebumikan di dalam kubur besar yang digali dengan jentera.
"Mereka akan tambah dua kubur besar baharu sekiranya diperlukan," kata Kersten.
Tambahnya, buruh kontrak diupah untuk membantu prosedur pengebumian.
"Bagaimanapun, bagi tujuan keselamatan, orang yang dijatuhi hukuman penjara tidak membantu proses pengebumian selama tempoh pandemik," kata Kersten lagi.
Sebuah kapal dilihat tiba di pulau itu pada pagi Khamis dengan sebuah trak kemudian mengalihkan puluhan mayat di dalam peti sejuk beku.
#angka korban #COVID-19 #Hospital #koronavirus #kubur besar #mayat #mayat tidak dituntut #New York #Pulau Hart
;