COVID-19: Kuarantin belum 10 hari, Trump sudah mahu kembali berkempen
Agensi
Oktober 10, 2020 09:18 MYT
Oktober 10, 2020 09:18 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaporkan akan kembali berkempen selepas seminggu menerima rawatan akibat COVID-19.
Trump menegaskan beliau sudah bersedia dan kini pulih meskipun tidak menghabiskan kuarantin 14 hari.
Menurut doktor yang merawat Trump, Presiden telah menyelesaikan terapi penyakit itu dan dibenarkan untuk menyertai acara umum pada Sabtu.
Sementara itu pakar penyakit berjangkit Dr Anthony Fauci berkata garis panduannya secara umum adalah 10 hari dari permulaan gejala.
Beliau turut menyatakan 10 hari untuk Trump berakhir pada Sabtu dan bukannya Jumaat.
Garis panduan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) juga memerlukan dua ujian negatif dalam tempoh 24 jam.
"Biar saya beritahu apa panduan dikeluarkan CDC bagi membolehkan individu kembali kepada masyarakat.
"Biasanya 10 hari dikira dari hari permulaan gejala. Dia (Trump) mula dapat gejala pada Khamis minggu lalu, bukan semalam.
“Ini bermaksud 10 hari itu jatuh pada hari Sabtu.
"Kriteria lain yang dibicarakan adalah dua ujian negatif yang dalam tempoh 24 jam. Dan saya harus memberitahu anda, saya tidak tahu apa nilai-nilai itu.
“Tetapi dari tempoh waktu, dia (Trump) akan berada dalam tempoh yang disarankan dari CDC untuk membolehkan beliau kembali semula 10 hari dari permulaan gejala,” katanya.
Trump masih belum muncul di khalayak sejak disahkan positif COVID-19.
Fauci dalam pada itu mendesak warga AS supaya tidak mengambil remeh dengan jangkitan virus tersebut.
Beliau turut memberi amaran peningkatan jangkitan dan kematian pada musim luruh dan sejuk yang semakin hampir.
#Donald Trump
#kes positif
#14 hari
#WHO
#pilihan raya AS
#tempoh kuarantin
#Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit
#CDC