COVID-19: Korea Utara mansuh pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal

Astro Awani
Ogos 14, 2022 09:00 MYT
Kim Jong Un berjabat tangan dengan pegawai-pegawai kesihatan dalam satu majlis di Pyongyang, Korea Utara, 10 Ogos 2022. (Foto AP/KCNA)
KOREA Utara pada Sabtu mengumumkan pemansuhan pemakaian pelitup muka dan peraturan penjarakan fizikal selepas pemimpin Kim Jong Un mengisytiharkan kemenangan ke atas COVID-19 minggu ini.
Terdahulu pada Rabu, Jong Un mempengerusikan satu mesyuarat COVID-19 dan mengarahkan penarikan langkah antiwabak yang dikenakan sejak Mei, kali pertama wabak itu dikesan.
Bagaimanapun, katanya, Korea Utara perlu mengekalkan langkah "pertahanan antiwabak yang kukuh".
Korea Utara menggugurkan kewajipan memakai pelitup muka dan peraturan lain, seperti had masa perkhidmatan kemudahan komersial dan awam, di semua kawasan kecuali sempadan.
Menurut media rasmi KCNA, negara itu mengesyorkan mereka yang mengalami gejala pernafasan perlu terus memakai pelitup muka dan menggesa orang ramai untuk terus berwaspada.
Korea Utara telah menyalahkan Korea Selatan susulan COVID-19 yang melanda negara itu dengan kakak Jong Un, Kim Yo Jong, berikrar akan mengambil "tindak balas maut".
Pyongyang tidak pernah mengesahkan bilangan individu yang dijangkiti COVID-19 disebabkan kekurangan kaedah menjalankan ujian saringan.
Pengisytiharan Korea Utara mengenai COVID-19 dibuat walaupun tiada program vaksin yang dijalankan.
Sebaliknya, ia mengatakan, ia bergantung kepada sekatan pergerakan dan ubat-ubatan yang dihasilkan dalam negara.
#Kim Jong Un #Korea Utara #COVID-19 #mansuh pemakaian pelitup muka
;