COVID-19: Korea Selatan utamakan pesakit berisiko tinggi menjelang kemuncak jangkitan

Bernama
Ogos 21, 2024 17:38 MYT
Gelombang peningkatan kes semasa musim panas di Korea Selatan tahun ini dijangka mencapai kemuncaknya pada akhir bulan ini. - Reuters
SEOUL: Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan akan memberi tumpuan terhadap rawatan bagi pesakit COVID-19 berisiko tinggi ketika gelombang peningkatan kes semasa musim panas tahun ini dijangka mencapai kemuncaknya pada akhir bulan ini.
Pesuruhjaya Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) Jee Young-mee berkata beliau menjangkakan gelombang jangkitan semasa musim panas akan reda selepas ia melepasi kemuncaknya, lapor Agensi Berita Yonhap.
"Gelombang (COVID-19) musim panas ini dijangka meningkat sehingga akhir Ogos dan kemudian menurun," kata Jee pada Rabu.
Jee berkata kadar kematian akibat COVID-19 adalah serupa dengan selesema bermusim, tetapi terdapat keperluan untuk melindungi golongan warga emas.
"Sejak Januari 2020 hingga Ogos tahun lepas, kadar kematian akibat COVID-19 dicatatkan pada 0.1 peratus. Pada 2023, kadar itu ialah 0.05 peratus, menunjukkan bahawa kadar kematian bagi varian omicron adalah setanding dengan selesema bermusim," kata Jee.
Beliau berkata kerajaan akan mengekalkan bekalan rawatan dan kit ujian COVID-19 yang stabil dan akan melancarkan program vaksinasi dengan vaksin yang berkesan terhadap varian terbaharu seperti JN.1 pada Oktober.
KDCA berkata pihaknya percaya vaksin yang berkesan terhadap varian JN.1 juga akan berkesan terhadap varian KP.3, memandangkan kedua-dua varian itu mempunyai ciri-ciri yang serupa.
-- BERNAMA
#COVID-19 #pesakit berisiko tinggi #gelombang musim panas #jangkitan #Korea Selatan
;