COVID-19: Korea Selatan perketat peraturan penjarakan fizikal
Khairunnisa Kasnoon
Disember 6, 2020 22:54 MYT
Disember 6, 2020 22:54 MYT
SEOUL: Korea Selatan memperketatkan peraturan penjarakan fizikal bagi mengekang penyebaran COVID-19 selepas beberapa sekatan baru-baru ini gagal mengekang jangkitan virus berkenaan.
Menteri Kesihatannya, Park Neung-hoo memaklumkan, peraturan penjarakan fizikal yang dilaksanakan sebelum ini tidak memberikan impak yang cukup untuk mencegah jangkitan.
Ujarnya, Korea Selatan akan menghadapi kekurangan katil di unit rawatan rapi (ICU) sekiranya peningkatan mendadak berterusan selama satu hingga dua minggu.
Di bawah sekatan baharu, yang akan berkuat kuasa selama tiga minggu bermula Selasa, pihak berkuasa akan menutup kemudahan termasuk pusat karaoke, pusat kecergasan, gimnasium dan kebanyakan sekolah di kawasan metropolitan Seoul.
Beberapa kemudahan berisiko tinggi seperti kelab malam di kawasan Seoul juga diarah tutup.
Sebarang majlis yang melibatkan lebih dari 50 orang termasuk upacara perkahwinan di Seoul akan dilarang, dan semua permainan sukan akan diadakan tanpa penyokong.
Korea Selatan juga akan meningkatkan peraturan penjarakan fizikal di kawasan luar wilayah Seoul.
Negara itu melaporkan 514 kes baru setiap hari dalam seminggu terakhir, 375 daripadanya di wilayah berkenaan.
Pada Ahad, Korea Selatan melaporkan 631 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes menjadi 37,546 dengan 545 kematian.