COVID-19: Korea Selatan kesan lima kes varian Omicron
Hafizi Rosli
Disember 1, 2021 06:42 MYT
Disember 1, 2021 06:42 MYT
SEOUL: Korea Selatan melaporkan lima kes pertama COVID-19 varian Omicron pada Rabu.
Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), sepasang suami isteri dari Nigeria yang lengkap divaksin sepenuhnya disahkan positif varian itu selepas tiba minggu lalu.
Turut disahkan positif varian itu adalah dua ahli keluarga serta rakan mereka.
Ia sekaligus mencetuskan ke kebimbingan dalam kalangan masyarakat apabila kes harian juga dilaporkan meningkat mendadak melebihi 5,000 kes.
Dalam pada itu, semua pengembara ke Korea Selatan, termasuk warganegaranya serta warga asing perlu dikuarantin selama 10 hari semasa ketibaan tanpa mengira status vaksinasi mereka.
Peraturan baharu itu akan bermula pada Jumaat dan berlangsung selama dua minggu.
Rakyat Korea Selatan dan warga asing yang menetap di negara itu akan dibenarkan untuk kuarantin di rumah.
Manakala warga asing yang tinggal dalam jangka masa pendek perlu dikuarantin di kemudahan sementara yang ditetapkan kerajaan.
Semua pengembara luar negara yang tiba ke Korea Selatan juga akan diuji varian Omicron COVID-19.