COVID-19: Korea Selatan catat kes harian baharu tertinggi, bakal pertimbang SOP lebih ketat

Agensi
Disember 16, 2020 15:38 MYT
Lebih 770 kes baharu yang dilaporkan adalah di bandar Seoul dengan kluster baharu direkodkan di merata tempat termasuk di gereja, hospital, pusat perubatan, sekolah, restoran dan penjara. Foto: AP Newsroom
SEOUL: Korea Selatan melaporkan kes harian positif COVID-19 terbaharu tertinggi pada Rabu sekali gus memberi tekanan kepada pihak berkuasa bagi menguatkuasakan pelaksanaan penjarakan fizikal yang lebih ketat bagi mengekang penularan virus itu.
Badan Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea melaporkan 1,078 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara itu adalah 45,442.
Manakala jumlah kematian juga mencatatkan peningkatan dengan 25 kes baharu sejak 48 jam lepas menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah 612 kes.
Susulan itu, Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan Korea Selatan, Yoon Tae-ho memaklumkan pihak berkuasa sedang berbincang berkenaan pelaksanaan penjarakan fizikal kepada kategori ketiga.
Katanya, ini termasuk melarang perhimpunan melibatkan lebih 10 orang, menghentikan operasi yang tidak penting dan menggalakkan lebih banyak syarikat untuk mengeluarkan arahan bekerja dari rumah.
"Kategori 3 penjarakan fizikal ini adalah pelaksanaan paling tegas sehingga boleh menyebabkan kerugian besar kepada pemilik perniagaan kecil.
"Jadi kami sedang mengkaji pelaksanaan yang lebih ketat ini dan pada masa sama mengambil maklum dari pakar-pakar termasuk dari pihak berkuasa kerajaan dan jawatankuasa COVID-19 yang lain," jelasnya.
Lebih 770 kes baharu yang dilaporkan adalah di bandar Seoul dengan kluster baharu direkodkan di merata tempat termasuk di gereja, hospital, pusat perubatan, sekolah, restoran dan penjara.
#Korea Selatan #COVID-19 #penjarakan fizikal #Badan Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea #Yoon Tae-ho #Seoul