COVID-19: Korban di India cecah 400,000 ketika kebimbangan kemunculan gelombang ketiga

Astro Awani
Julai 3, 2021 09:50 MYT
Angka kematian rasmi akibat COVID-19 di India mencecah 400,000 pada Jumaat. -Gambar fail
NEW DELHI: Angka kematian rasmi akibat COVID-19 di India mencecah 400,000 pada Jumaat.
Bagaimanapun, pakar menyatakan jumlah sebenar kematian mungkin mencapai satu juta atau lebih tinggi dengan kemungkinan kemunculan jangkitan gelombang ketiga.
Dalam 39 hari, angka kematian di India bertambah 100,000 susulan gelombang jangkitan kedua yang melanda kawasan bandar dan luar bandar di mana jutaan individu berisiko tanpa mempunyai akses kepada vaksin.
Negara itu pada Jumaat mencatatkan 853 kematian dan jumlah itu membuatkan India negara ketiga mencatat kes tertinggi di dunia.
Seorang profesor di Rajagiri College of Sosial Sciences di Kochi, Rijo M John berkata, jumlah kematian yang tidak dikira berlaku di seluruh negeri.
Perkara itu disebabkan kelewatan sistem yang menyebabkan jumlah sebenar kematian tidak dapat dipastikan.
Walaupun masih meningkat, jumlah jangkitan baharu menurun kepada tahap terendah sejak dua bulan lalu.
Ia pernah mencapai angka tertinggi 400,000 pada Mei.
Kerajaan sedang mengalihkan perhatian kepada program vaksinasi besar-besaran, namun dengan kebimbangan terhadap varian baharu muncul seperti Delta Plus.
India mencatat purata pemberian vaksin pada 3.5 juta dos sehari minggu ini, berbanding 6.6 juta dos minggu lalu.
#Narendra Modi #program vaksinasi #AstraZeneca #vaksin #varian baharu #jangkitan #India #Mumbai #COVID-19 #jumlah kematian
;