COVID-19: Kini berlaku pandemik dua hala - WHO

Astro Awani
Jun 7, 2021 06:43 MYT
Dr Tedros sekali lagi menyuarakan gesaan agar negara kaya membaik pulih ketidaksamarataan akses kepada vaksin COVID-19. -Gambar fail
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan berlakunya pandemik dua hala dengan jumlah kematian dalam kalangan warga emas menurun terutama di negara dengan kadar vaksinasi yang tinggi.
Namun, menurut Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, jumlah tersebut meningkat di Amerika, Afrika dan wilayah Pasifik Barat.
Dr Tedros turut memberi amaran kepada negara-negara yang berdepan penularan varian baharu yang digelar varian delta untuk tidak melonggar sekatan secara terburu-buru.
Ini kerana, jelasnya, ia bakal memberi kesan berbahaya terutama terhadap mereka yang belum divaksinasi.
"Secara global, kita menyaksikan perkembangan memberangsangkan pada trajektori pandemik.
"Jumlah kes harian COVID-19 yang dilaporkan kepada WHO menunjukkan penurunan untuk enam minggu dan jumlah kematian juga menurun untuk lima minggu.
"Namun kita menyaksikan keadaan bercampur di seluruh dunia. Jumlah kematian minggu lepas menunjukkan peningkatan di tiga daripada enam wilayah iaitu Afrika, Amerika dan wilayah Pasifik Barat.
"Ia meningkat susulan berlakunya pandemik dua hala," kata Dr Tedros.
Justeru, dengan berlangsungnya mesyuarat negara G7, Dr Tedros sekali lagi menyuarakan gesaan agar negara kaya membaik pulih ketidaksamarataan akses kepada vaksin COVID-19.
Malah, jelasnya, sasaran sekurang-kurangnya 10 peratus populasi setiap negara untuk divaksinasi menjelang akhir September ini dan 30 peratus menjelang akhir tahun.
#COVID-19 #pandemik #varian baharu #vaksin #jumlah kematian #warga emas #G7 #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #WHO #Tedros Adhanom Ghebreyesus #Varian Delta
;