COVID-19: Ketua Pengarah WHO mohon solidariti perangi epidemik
Agensi
Februari 16, 2020 09:58 MYT
Februari 16, 2020 09:58 MYT
"Kita perlu berpegang pada solidariti, bukan stigma.”
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Sabtu meminta semua pihak bersatu padu dalam memerangi wabak COVID-19.
Katanya, perkara yang menjadi musuh utama penularan wabak itu adalah “stigma masyarakat yang menjadikan semua pihak saling menentang antara satu sama lain.”
“Kita perlu hentikan stigma dan kebencian.
“Penularan wabak Ebola dan COVID-19 sememangnya memerlukan kerjasama semua negara untuk bersedia dan bukannya panik,” tegasnya ketika berucap pada Persidangan Keselamatan Munich ke-56 (MSC) di Munich, Jerman.
Malah, Tedros turut mempersoalkan sebilangan negara yang sanggup membelanjakan berbilion dolar untuk mempersiapkan serangan pengganas, namun tidak pernah membuat persiapan untuk serangan virus.
Sedangkan, katanya, virus mungkin boleh membunuh lebih banyak nyawa dan membawa lebih kerosakan dari segi ekonomi, politik dan sosial.
"Ini jelas sukar difahami dan sangat berbahaya," katanya.
Di samping itu, beliau memuji langkah-langkah yang diambil oleh China dalam menangani penularan wabak itu dan usaha mengekang penyebaran ke seluruh dunia.
Malah, beliau juga mengalakkan pakar-pakar antarabangsa yang kini berada di China untuk bekerja rapat dengan rakan-rakan tempatan untuk memahami wabak itu dan menerangkan langkah-langkah seterusnya untuk tindak balas global.
“Seperti yang saya katakan, saya berusaha untuk melawan wabak itu di mana-mana negara secara agresif, untuk melindungi rakyat di seluruh dunia, walaupun ia melibakan kos yang sangat tinggi,” katanya lagi.
#China
#COVID-19
#Ebola
#ekonomi
#keselamatan
#kesihatan
#koronavirus
#politik
#rakyat
#serangan
#WHO