COVID-19: Ketidakpatuhan SOP punca peningkatan kes, bukan mutasi baharu - WHO
Astro Awani
Januari 16, 2021 08:30 MYT
Januari 16, 2021 08:30 MYT
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan mutasi baharu COVID-19 di Britain, Afrika Selatan dan Brazil tidak memberi sebarang kesan ketara ke arah lonjakan kes jangkitan koronavirus itu.
Sebaliknya, agensi kesihatan dunia itu menyalahkan tingkah laku manusia sebagai penyebab peningkatan kes baru-baru ini.
Pengarah Program Kecemasan WHO Dr Michael Ryan berkata, adalah tidak wajar untuk menyalahkan mutasi baharu virus itu semata-mata.
"Mutasi baru mungkin akan mempunyai impak pada masa akan datang dan sekarang.
"Tetapi, adalah terlalu mudah untuk hanya menyalahkan varian itu dan mengatakan, 'virus itu yang melakukannya'.
"Malangnya, kesalahan juga terletak pada apa yang kita tidak lakukan.
"Kita perlu mengambil tanggungjawab ini, secara individu, komuniti dan secara kerajaan, kerana telah menyebabkan virus ini berada di luar kawalan," katanya pada Jumaat.
Beliau mengakui kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) di kalangan orang ramai kini semakin lemah.
Justeru, Ryan meminta pegawai kesihatan menghormati langkah-langkah pencegahan seperti penjarakan fizikal, kebersihan tangan dan pemakaian pelitup muka.