COVID-19: Ketahui bagaimana negara lain menangani wabak ini

Aza Jemima Ahmad
Mac 25, 2020 17:52 MYT
Perintah kuarantin di seluruh negara dikuatkuasakan sehingga 3 April di Itali. -Foto Astro AWANI/ Aza Jemima
MUNGKIN ada yang tertanya-tanya, bagaimanakah negara-negara lain mengambil langkah penguatkuasaan bagi membendung penularan pandemik COVID-19 yang sedang melanda ketika ini.
Wabak COVID-19 ini merupakan satu krisis global dan disifatkan sebagai suatu pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Setiap negara telah memberikan respon dan tindakan yang berbeza-beza.
Kini, sebanyak 423,302 kes telah dilaporkan di seluruh dunia dengan kadar kematian seramai 18,906.
Berikut Astro AWANI senaraikan tindakan beberapa buah negara mengikut rantau dan benua dalam mengekang pandemik ini daripada terus merebak.
Afrika
Pada 17 Mac, Ghana menutup kemasukan kepada pelawat asing yang telah berada di negara-negara yang paling teruk terjejas dalam jangka masa 14 hari terakhir.
Namun, warganegara Ghana dan penduduk tetap dikecualikan. Arahan kuarantin mandatori wajib bagi sesiapa sahaja yang memasuki negara ini.
Semua penerbangan ke Algeria, Belgium, China, Perancis, Jerman, Itali, Netherlands, Portugal dan Sepanyol telah digantung bermula 15 Mac.
Kerajaan Afrika Selatan telah mengumumkan ia akan menutup sempadannya kepada semua pelancong asing yang tiba dari negara-negara berisiko tinggi COVID-19.
Pada 16 Mac, Tunisia menutup bangunan awam, sempadan darat dan penerbangan antarabangsa yang digantung.
Negara ini juga telah menguatkuasakan perintah berkurung apabila sebanyak 29 kes positif COVID-19 dilaporkan.
Amerika
El Salvador mengisytiharkan darurat pada Ahad, 15 Mac, walaupun tidak ada kes yang disahkan pada masa ini.
Negara itu juga turut menyekat sebarang acara atau perhimpunan awam sebagai langkah membendung penularan wabak itu.
Dalam pada itu, sekatan pada pintu masuk dan keluar dari negara turut dikuatkuasakan. Republik ini telah menutup kemasukan pelawat asing dari Isnin, 16 Mac. Penduduk Colombia yang kembali mesti mengasingkan diri selama dua minggu. Sekolah dan universiti juga ditutup.
Amerika Syarikat telah mengenakan larangan perjalanan dari seluruh Eropah dan sempadan antara Kanada dan Amerika Syarikat ditutup pada 18 Mac.
Pada 16 Mac, penduduk telah dinasihatkan untuk elak hadir ke sebarang perhimpunan sosial yang melibatkan lebih daripada 10 orang dan mengehadkan perjalanan yang tidak penting di dalam negeri.
Eropah Pada 16 Mac, kerajaan Perancis telah menguatkuasakan perintah berkurung yang berlangsung selama 15 hari. Rakyat hanya boleh meninggalkan rumah mereka untuk pergi ke pasar raya, farmasi atau kerja.
Presiden Emmanuel Macron berkata sempadan akan ditutup dari hari Selasa, namun warga Perancis dan penduduk akan dibenarkan pulang.
Pada 23 Mac, sekatan pergerakan diperketatkan di mana rakyat mereka hanya boleh bersenam bersendirian atau bersama anak-anak mereka.
Semua sekolah, universiti dan kedai tidak penting diarahkan untuk tutup di seluruh negara. Canselor Jerman, Angela Merkel juga menyeru larangan perhimpunan dengan lebih daripada dua orang.
Negara ini menutup sempadan Switzerland, Austria, Denmark dan Luksemburg untuk sementara.
Rusia telah melarang kemasukan pelawat asing dari 18 Mac hingga 1 Mei. Namun, warganegara Rusia yang baru kembali dari luar negara telah dikecualikan.
Pada 14 Mac lalu, Sepanyol telah mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung terhadap 47 juta penduduknya secara separa iaitu dengan mengenakan darurat selama 15 hari bagi memerangi wabak COVID-19.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Pedro Sanchez dalam ucapan menerusi siaran televisyen di seluruh negara.
Pada 22 Mac, perintah itu dilanjutkan selama 15 hari lagi. Semua kedai yang tidak menjual keperluan utama telah diarahkan tutup dan penduduk hanya boleh meninggalkan rumah mereka jika perlu, seperti untuk membeli makanan, bekerja, mendapatkan rawatan kesihatan dan membantu mereka yang memerlukan.
Penduduk juga boleh dikenakan denda jika didapati keluar rumah tanpa alasan yang wajar.
Perintah kuarantin di seluruh negara dikuatkuasakan sehingga 3 April dan semua premis perniagaan kecuali pasar raya dan farmasi telah diarahkan tutup.
Itali yang merekodkan kes positif COVID-19 yang pertama pada 20 Februari yang lalu dan kini telah melepasi negara China dalam rekod kes terbanyak di dunia dengan mencatatkan lebih 69,000 jumlah pesakit.
Jumlah kadar kematian direkodkan ialah 6,820 pada hari ini. Dilaporkan, terdapat penurunan berturut-turut dalam angka korban, sebanyak 793 orang korban pada Sabtu dan terus menurun kepada 651 kematian pada Ahad.
Asia
Wilayah Hubei yang menjadi pusat penularan wabak COVID-19 itu telah berjaya melaksanakan kawalan terhadap sejumlah 60 juta orang penduduk serta menguatkuasakan arahan kuarantin mandatori.
Di seluruh negara, pelawat yang tiba dari Iran, Itali, Jepun atau Korea dan melancong ke Beijing, Guangzhou, atau Shanghai dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari.
Penguatkuasaan langkah-langkah pembendungan yang ketat oleh China ini yang telah berjaya melambatkan bilangan kes COVID-19 baharu.
Tindakan ini telah mendapat pujian daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Perintah berkurung diisytiharkan di New Delhi sehingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak ini. Selain itu, polis diberi kuasa menghukum mereka yang tidak mematuhi arahan ini.
Dilaporkan juga, kawasan sempadan turut ditutup dan khidmat pengangkutan awam akan dihentikan.
Perdana Menteri Narendra Modi berkata, perintah berkurung itu bermula pada jam 12 tengah malam Selasa waktu tempatan.
BACA: PM India: Patuh perintah berkurung jika mahu lawan COVID-19
Dalam pada itu, perintah kuarantin 14 hari wajib untuk penumpang yang datang dari atau transit melalui UAE, Qatar, Oman, Kuwait, China dan Korea Selatan turut diumumkan.
Awal minggu ini, Thailand telah mengisytiharkan darurat selama sebulan sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19.
Visa ketibaan akan dihentikan sementara untuk banyak negara termasuk:
  1. Bulgaria
  2. Bhutan
  3. Cyprus
  4. Ethiopia
  5. Fiji
  6. Georgia
  7. India
  8. Kazakhstan
  9. Malta
  10. Mexico
  11. Nauru
  12. Papua New Guinea
  13. Romania, Rusia
  14. Arab Saudi
  15. Uzbekistan
  16. Vanuatu
  17. China
BACA: COVID-19: Thailand catat empat kematian setakat ini
Pada 15 Mac, Vietnam telah melarang kemasukan pelawat antarabangsa jika mereka berada di UK atau Kawasan Schengen 14 hari sebelumnya,
Sementara itu, destinasi tarikan pelancong seperti Ha Long Bay, Bai Tu Long Bay, dan Kompleks Yen Tu telah diarahkan tutup kepada pengunjung sehingga 26 Mac, pelawat juga dilarang melancong ke pulau Ly Son di wilayah Quang Ngai.
Aktiviti-aktiviti pelancongan di wilayah Hanoi, Hoi An dan Quang Ninh juga digantung.
Di samping itu, kerajaannya juga telah menghentikan program pengecualian visa untuk Denmark, Norway, Finland, Sweden, UK, Jerman, Perancis, dan Sepanyol sehingga pemberitahuan lanjut.
‘Negeri matahari terbit’ ini juga telah menguatkuasakan larangan kemasukan penumpang yang telah berada di kawasan yang terjejas di China, Korea Selatan atau Itali 14 hari sebelumnya.
Penduduk Jepun dan keluarga terdekat dikecualikan. Tempat-tempat menarik seperti Tokyo Disney Resort telah ditutup selama beberapa minggu, sementara negara ini berada di bawah penutupan separa.
Temasya Olimpik dan Paralimpik 2020 di Tokyo juga akan ditangguhkan selama setahun dan telah dipersetujui oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, menurut Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.
Pada 16 Mac, Presiden Filipina Rodrigo Duterte telah mengumumkan perintah ‘lockdown’ di Pulau Luzon yang mempunyai populasi seramai 107 juta orang dan ibu kota Manila yang mempunyai populasi seramai 12 juta orang.
Selain itu, perjalanan keluar dan masuk dari ibu kota Manila dihentikan sehingga 14 April.
Republik yang menempatkan antara jumlah populasi terkecil di dunia ini telah banyak melakukan penambahbaikan infrastruktur sejak penularan wabak Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003.
Para pengunjung yang tiba dari tanah besar China, Iran, Itali, Korea Selatan, Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol dalam tempoh 14 hari yang lalu, tidak dibenarkan masuk ke Singapura. Pengumuman ini dibuat pada awal Januari lalu.
Perhimpunan besar turut diharamkan tetapi sekolah dan tempat kerja tetap terbuka.
BACA: COVID-19: 49 kes baharu di Singapura, langkah lebih tegas diperkenal
Pada 28 Februari, Singapura melancarkan ujian serologi yang mampu mengesan apabila seseorang pesakit memiliki antibodi yang mengandungi virus dalam badan. Selain itu, orang awam boleh melakukan ujian ini secara percuma.
BACA: Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April 2020
#COVID-19 #koronavirus #Olimpik #pelancongan #virus #WHO
;