COVID-19: Kesilapan Itali jadi pengajaran dunia

Astro Awani
Mac 26, 2020 12:16 MYT
Itali lambat bertindak mengawal COVID-19. Gambar fail/ AP Newsroom.
WALAUPUN populasi rakyat Itali kurang tiga peratus daripada China, namun bilangan mangsa yang maut akibat COVID-19 di negara itu kini jauh melebihi republik berkenaan, yang menjadi negara sumber epidemik itu.
Data menunjukkan kematian di Itali adalah sebanyak kira-kira 5,500 manakala pesakit yang disahkan positif COVID-19 adalah lebih 60,000, berbanding China yang mencatatkan hampir 3,300 kematian dan 81,000 (positif).
Banyak pihak mengkritik sikap kurang serius kerajaan Itali ketika fasa awal epidemik berkenaan, malah kebocoran maklumat kepada media sebelum pelaksanaan perintah berkurung turut didakwa menjadi punca penyebaran wabak itu ke kawasan lebih luas.
Kolumnis Bloomberg, Ferdinando Giugliano, berkata banyak kesilapan dilakukan kerajaan dalam menangani COVID-19, bermula dengan kegagalan menguatkuasakan perintah berkurung sepenuhnya di Lombardy, wilayah Bergamo, yang paling teruk terjejas.
Katanya, keadaan menjadi lebih buruk apabila keputusan menutup beberapa kawasan di utara Itali itu dilaporkan oleh akhbar sebelum diluluskan, mencetuskan keadaan tidak terkawal apabila rakyat tergesa-gesa melarikan diri ke Selatan, yang dipercayai menjadi faktor penyebaran virus ke kawasan lebih luas.
Menurut beliau, berikut antara faktor COVID-19 merebak luas di Itali dan kesilapan dilakukan negara itu dalam mengendalikan epidemik berkenaan:-
*Itali mempunyai ramai penduduk warga tua dengan usia purata sekitar 45 tahun. COVID-19 lebih mudah merebak dan membahayakan warga tua berbanding orang muda dan kanak-kanak. Kebanyakan mangsa yang meninggal dunia di Itali adalah golongan tua berusia lingkungan 80-an.
*Faktor kebudayaan juga menjadi penyumbang kerana generasi tua cenderung menghabiskan banyak masa bersama-sama di dalam ruang kecil seperti rumah, memudahkan penularan virus. Jepun juga mempunyai ramai golongan tua, namun bilangan kes tidak setinggi Itali kerana mereka berdisiplin dalam mengamalkan penjarakan sosial, membolehkan usaha pencegahan lebih berjaya.
*Lombardy yang terkenal dengan ibu kotanya, Milan, menjadi tempat paling teruk terjejas akibat COVID-19. Hampir separuh daripada semua kes direkodkan, malah dua pertiga kematian datang dari kawasan ini. Wilayah yang mempunyai populasi tinggi ini adalah kuasa ekonomi negara dan mempunyai hubungan komersial yang kuat dengan negara-negara lain, termasuk China. Ini menjelaskan mengapa wabak COVID-19 di Itali berasal dari sini. Ia tersebar tanpa kekangan untuk beberapa ketika sebelum tahap bahayanya disedari. Beberapa hospital kecil mungkin telah melakukan kesilapan dalam menangani kes awal, menyumbang kepada penyebaran wabak termasuk di hospital itu sendiri.
*Sehingga kini, lebih daripada 4,000 pekerja penjagaan kesihatan telah diuji positif virus itu - tanda bahawa doktor dan jururawat terlalu terdedah dan boleh bertindak sebagai ejen penyebaran secara tidak sengaja.
*Pemimpin kerajaan dan politik termasuk Perdana Menteri, Giuseppe Conte dikatakan mengambil ringan masalah ini pada peringkat awal. Ketika kes pertama muncul di Lombardy, beberapa ahli politik segera mengeluarkan kenyataan meminta orang ramai tidak bimbang dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Milan, bandar utama di Lombardy dan menjadi kota kewangan negara itu, menjadi popular dengan video motivasi berslogan ‘Milan tidak berhenti’ yang disebarkan oleh pemimpin politiknya, sekali gus memburukkan keadaan.
*Menyedari kesilapan itu, beberapa tindakan penting kemudian diambil kerajaan. Antaranya melaksanakan perintah berkurung membabitkan 50,000 orang di 11 bandar di selatan Lombardy serta sebuah kawasan berhampiran, iaitu Veneto. Kemudian lebih banyak sekatan dilaksanakan termasuk penutupan sekolah dan pengharaman perhimpunan awam. Pada 10 Mac, negara itu diletakkan di bawah perintah berkurung seluruh negara. Kerajaan kini telah menutup semua aktiviti ekonomi yang tidak penting termasuk kilang sehingga 3 April.
*Walaupun dikritik, Itali seharusnya mendapat sedikit kredit kerana menjadi negara Barat pertama menguatkuasakan langkah serius terutama perintah berkurung. Langkah ini kelihatan berkesan. Pada Ahad lalu, kadar kematian akibat COVID-19 menurun, seiring penurunan bilangan kes positif. Langkah-langkah ini telah digunakan sebagai model di tempat lain.
*Bagaimanapun, pengalaman Itali tidak boleh memberi banyak panduan kepada negara lain kerana tidak menunjukkan contoh baik bagaimana menangani epidemik dalam jangka panjang, kerana tidak mungkin untuk menutup aktiviti ekonomi selama beberapa bulan.
*Walaupun Itali telah melakukan lebih daripada 230,000 ujian, ia masih gagal menyusun strategi pengujian, pengesanan dan pengasingan diri yang menyeluruh, yang telah membantu menyelamatkan banyak nyawa di negara-negara seperti Korea Selatan atau Singapura.
*Malangnya, kegagalan ini telah seolah-olah diikuti tempat lain di Eropah dan Barat. Perancis dan Sepanyol telah menunggu terlalu lama sebelum menguatkuasakan perintah berkurung. UK pula telah membuat pusingan-U dramatik daripada langkah agresif kepada usaha yang lebih lembut dalam menghadapi dan membendung COVID-19. Di Sepanyol juga, sejumlah pekerja kesihatan telah dijangkiti. Amerika Syarikat pula, hanya baru-baru ini meningkatkan ujian dan berusaha mengatasi peningkatan bilangan kes.
Giugliano berpendapat, banyak negara di Asia nampaknya telah melakukan tugas lebih baik menghadapi COVID dengan dengan membuat pertimbangan wajar membabitkan kepentingan kesihatan dan ekonomi. Mungkin itulah contoh yang negara Barat harus ikuti tidak lama lagi.
#Amerika Syarikat #coronavirus #COVID-19 #Itali #kesilapan #lockdown #Media #Perdana Menteri #perintah berkurung #politik
;