COVID-19: Kes terus melonjak, Rusia lanjutkan sekatan
Astro Awani
November 3, 2021 05:15 MYT
November 3, 2021 05:15 MYT
KRASNODAR: Situasi COVID-19 di Rusia dalam keadaan membimbangkan dengan pertambahan 40,443 kes positif dicatatkan, termasuk 1,189 lagi kes kematian disahkan pada Rabu.
Ia mendorong pihak berkuasa negara itu mengambil langkah untuk melanjutkan sekatan sedia ada.
Di Krasnodar, pihak restoran terpaksa meminta pengunjung memaparkan sijil vaksinasi COVID-19 dan keputusan ujian saringan sebelum memasuki premis.
Di hotel dan beberapa tempat awam juga telah memperkenalkan beberapa langkah sekatan untuk mencegah lonjakan kes COVID-19.
Susulan lonjakan kes itu, Presiden Vladimir Putin melaksanakan tempoh tidak bekerja di seluruh negara bermula 30 Oktober hingga 7 November.
Putin turut menambah bahawa pemerintah di wilayah terjejas teruk boleh melanjutkan tempoh tersebut jika perlu.
Meskipun Rusia telah meluluskan penggunaan vaksin yang dibangunkan oleh negara itu, kurang daripada 35 peratus populasinya yang telah divaksin sepenuhnya.