COVID-19: Kes positif global 405 juta, angka korban 5.78 juta
Astro Awani
Februari 12, 2022 08:32 MYT
Februari 12, 2022 08:32 MYT
JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia ketika ini melebihi 405 juta.
Ini berikutan kira-kira 2.9 juta kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan bilangan kes COVID-19 global kini mencecah 405,319,387.
Data Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 77 juta kes.
Ini diikuti India dengan 42 juta kes dan Brazil dengan hampir 27 juta kes.
Sementara itu, negara yang mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 melebihi angka 10 juta ialah Perancis (21,511,403), United Kingdom (18,285,401), Turki (12,653,276), Rusia (13,323,972), Itali (11,923,631) dan Jerman (11,897,014).
Manakala Sepanyol lebih 10 juta kes.
Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes COVID-19 dengan melebihi 4.5 juta kes.
Ini diikuti Filipina dengan lebih 3.6 juta, Malaysia lebih 2.9 juta kes, Thailand 2.5 juta kes, manakala Singapura merekodkan 428,954 kes.
Sementara itu, angka korban akibat COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi 5.78 juta.
Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat terus merekodkan jumlah tertinggi dengan 914,968 kes kematian setakat ini.
Ini diikuti Brazil dengan 635,421 kes, India 506,520 kes, Rusia 331,300 kes manakala Mexico 310,627 kematian.
United Kingdom, Itali, Perancis dan Jerman pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.
Negara yang merekodkan angka korban melebihi 90,000 kes ialah Sepanyol.
Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 144,000 kes korban.
Filipina di tangga kedua angka korban tertinggi dengan lebih 54,000 diikuti Malaysia dengan 32,000 kes dan Thailand, 22,000.