COVID-19: Kes positif di Indonesia meningkat kepada 69, lagi tiga pesakit maut

Agensi
Mac 13, 2020 18:47 MYT
Kementerian Kesihatan Indonesia turut mengesahkan jumlah kematian di negara itu kini tiga orang.
Indonesia mencatatkan lagi 35 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kepada 69 kes di negara itu pada Jumaat.
Menurut seorang pegawai Kementerian Kesihatan republik itu, Achmad Yurianto, kes terbabit melibatkan mangsa yang berusia dalam lingkungan dua hingga 80 tahun.
Terkini, kementerian itu turut mengesahkan jumlah kematian di negara itu ialah empat orang, seperti yang dilaporkan portal berita Kompas.com.
Terdahulu, seorang wanita berusia 53 tahun dilaporkan meninggal dunia menjadikan kematian pertama di negara itu akibat COVID-19 pada Rabu.
Di rantau Asia Tenggara, Indonesia adalah antara negara yang paling akhir mengesan kes positif COVID-19.
BACA: COVID-19: Indonesia catat kematian pertama
Sementara itu, Indonesia, negara dengan jumlah penduduk Islam terbesar di dunia, tidak mengambil pendekatan membatalkan solat Jumaat hari ini, sekalipun penularan virus COVID-19 kini diisytiharkan sebagai pandemik.
Bagaimanapun, Menteri Agama Indonesia, Fachrul Razi dalam satu kenyataan meminta orang ramai tidak bersalam-salaman ketika berada di masjid, dan tetap menjaga kebersihan diri.
BACA: COVID-19: Tiada pembatalan solat Jumaat di Indonesia
#coronavirus #COVID19 #Indonesia #kematian #pandemic
;