Kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat kepada 7,775 kes, dengan 11 lagi kematian berlaku bagi tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata pada Khamis, jumlah kematian akibat virus itu kini meningkat kepada 647 orang, sejak kematian pertama pada 11 Mac lepas.

"Bagi tempoh 12 tengah hari semalam (Rabu) sehingga 12 tengah hari ini (Khamis), sebanyak 357 kes baharu, manakala pesakit yang dalam pengawasan berjumlah 18,283 orang," katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan di YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 301 kes, diikuti Jawa Barat (74 kes), Jawa Timur (60), Jawa Tengah (53) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

BACA: Indonesia larang semua penerbangan komersial, persendirian hingga 1 Jun

-- BERNAMA