COVID-19: Kes meningkat sebelum Sukan Olimpik, Beijing laksana lebih banyak sekatan

Astro Awani
Januari 24, 2022 08:11 MYT
Petugas Olimpik berpakaian PPE menjalankan tugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, Beijing, 24 Jan 2022. (Foto AP)
BEIJING akan memperkenalkan lebih banyak sekatan baharu bagi mengawal penularan COVID-19 di bandar raya itu selepas ia mencatatkan peningkatan kes tidak sampai dua minggu sebelum bermulanya Sukan Olimpik Musim Sejuk.
Sembilan kes tempatan dilaporkan di Beijing pada 22 Jan, enam daripadanya dikesan di daerah Fengtai.
Susulan itu, pihak berkuasa kesihatan memaklumkan, Fengtai menjalankan ujian asid nukleik bagi COVID-19 terhadap semua penduduk tempatan pada Ahad.
Pihak berkuasa juga meminta penduduk di kawasan berisiko, termasuk sebuah kejiranan di Fengtai, untuk tidak meninggalkan bandar tersebut.
Majlis yang menghimpunkan orang ramai juga dilarang, menurut seorang jurucakap kerajaan tempatan pada Ahad.
Penduduk di Beijing juga diarah melakukan ujian asid nukleik sekiranya mereka menghadapi simptom COVID-19 dalam tempoh 14 hari selepas menerima kiriman dari luar negara.
Sebelum ini media melaporkan, Beijing mencatatkan kes pertama varian Omicron melalui barang kiriman yang diterima dari Kanada.
Pada 22 Jan, China merekodkan keseluruhannya 56 kes baharu jangkitan COVID-19.
Daripada jumlah itu, 19 adalah penularan tempatan, berbanding 23 kes hari sebelumnya.
Tiada kematian baharu direkodkan di negara itu.
#Beijing #sekatan #COVID-19 #Sukan Olimpik Musim Sejuk
;