COVID-19: Kes meningkat di Asia Tenggara bahang varian Delta
Astro Awani
Julai 10, 2021 09:40 MYT
Julai 10, 2021 09:40 MYT
SELEPAS dilihat berjaya menangani pandemik COVID-19 kira-kira setahun lalu, kini Asia Tenggara berdepan peningkatan kes jangkitan dan kematian setiap hari.
Kadar vaksinasi yang perlahan tambah menyukarkan langkah pencegahan wabak COVID-19 dan variannya yang baharu.
Ketika negara-negara seperti Britain, Jerman dan Perancis bersiap untuk menghapuskan baki sekatan pergerakan, kerajaan di Asia Tenggara memperketatkan sekatan dengan harapan dapat mengekang wabak yang mula meningkat sejak Mei lalu.
Indonesia, negara paling teruk terjejas di wilayah ini, mencatatkan lebih 38,000 kes pada Jumaat untuk hari kedua berturut-turut.
Ini merupakan enam kali ganda daripada bulan sebelumnya, dan kematian meningkat dua kali ganda pada Julai.
Sementara itu, Malaysia dan Thailand berkongsi angka jangkitan hampir sama iaitu lebih 9,180 kes baharu.
Ini mendorong pihak berkuasa mengumumkan langkah yang lebih ketat di negara masing-masing untuk memperlahankan penularan varian Delta.
Myanmar menyaksikan 63 kematian dan 4,320 kes baharu pada Jumaat sementara Kemboja menyaksikan jumlah kes dan kematian tertinggi pada sembilan hari terakhir.
Pakar kesihatan memberi amaran kadar ujian saringan yang rendah di negara berpopulasi tinggi seperti Indonesia dan Filipina menyukarkan pengesanan angka sebenar kes jangkitan.
Reputasi Vietnam sebagai kisah kejayaan koronavirus terancam dengan lebih banyak kes dalam lima hari terakhir walaupun mencatatkan 1,625 kes pada Jumaat.
Pakar epidemiologi di Universiti Griffith Australia, Dicky Budiman berkata, wilayah Asia Tenggara sedang berjuang mengatasi varian Delta dan disebabkan strategi, mesej dan penguatkuasaan yang tidak konsisten.
Katanya, terdapat keperluan memperluaskan rangkaian vaksin dengan Sinovac dari China lebih mendominasi berbanding vaksin jenama Barat.
Jelasnya, dalam menangani pandemik pada skala yang besar, satu jenis vaksin tidak boleh bertahan sendiri dan ia memerlukan pelbagai sumber.
Kadar imunisasi di Asia Tenggara juga dilihat masih rendah dengan 5.4 peratus daripada 270 juta penduduk Indonesia telah divaksin, Filipina 2.7 peratus, Thailand 4.7 peratus dan Malaysia 10 peratus.
#varian baharu
#COVID-19
#pandemik
#ujian saringan
#vaksin
#mRNA
#koronavirus
#jangkitan
#Moderna
#BioNTech
#Pfizer
#Malaysia
#Indonesia
#China
#Dicky Budiman