COVID-19: Kes jangkitan meningkat ketika ujian saringan tidak lagi percuma di Perancis

Astro Awani
Oktober 16, 2021 00:17 MYT
Bermula Jumaat, individu yang belum diberikan vaksin perlu membayar ujian saringan COVID-19 yang selama ini percuma di Perancis. - Gambar fail
PERANCIS menyaksikan peningkatan kes terbesar jangkitan baharu COVID-19 sejak akhir Julai.
Peningkatan itu direkodkan pada hari terakhir ujian saringan koronavirus tersebut diberikan secara percuma.
Kementerian Kesihatan melaporkan 6,099 kes baharu dalam tempoh 24 jam terakhir, peningkatan 36 peratus berbanding 4,470 kes pada Jumaat minggu lalu.
Bermula Jumaat, individu yang belum divaksin perlu membayar untuk mengambil ujian COVID-19 yang selama ini percuma di Perancis.
Ujian itu bagaimanapun akan terus dilaksanakan secara percuma untuk individu yang telah divaksinasi, individu bergejala dan kanak-kanak berumur antara 12 dan 17 tahun.
Jumlah kes yang dilaporkan pada jumaat adalah kenaikan minggu ke minggu berturut-turut setelah jumlah jangkitan harian turun sejak pertengahan Ogos.
Bilangan individu dirawat di hospital dengan jangkitan COVID-19 terus menurun kepada 6,470 pada Jumaat sementara jumlah pesakit COVID-19 dalam rawatan ICU ialah sebanyak 1,076.
Perancis juga mencatatkan 32 kematian baru.
Pada akhir bulan lalu, jurucakap kerajaan menyatakan, keadaan susulan penularan COVID-19 bertambah baik di Perancis tetapi kerajaan tidak merancang untuk meredakan sekatan pas kesihatan yang ditetapkan.
COVID-19 | Individu belum divaksin perlu bayar ujian saringan di Perancis
#jangkitan #peningkatan #Perancis #ujian saringan percuma