COVID-19: Kes baharu Thailand terus meningkat, 3 wilayah selatan tetap dibuka untuk program 'sandbox'
Agensi
Januari 9, 2022 17:23 MYT
Januari 9, 2022 17:23 MYT
BANGKOK: Tiga wilayah selatan Thailand iaitu Surat Thani, Krabi dan Phangnga akan mula menerima kedatangan pengunjung dari luar negara pada Selasa depan di bawah formula program sandbox.
BangkokPost yang memetik Royal Gazette melaporkan, tarikh itu disahkan dalam penerbitannya pada Sabtu.
Melalui program itu, pengembara boleh memasuki Koh Tai, Koh Phangan dan Koh Samui di Surat Thani dan ke seluruh wilayah Krabi dan Phangnga bermula Selasa ini.
Pengembara perlu mematuhi protokol yang sama seperti sandbox Phuket, iaitu perlu melalui ujian RT-PCR semasa ketibaan di hotel yang berdaftar dan sekali lagi ujian pada lima atau enam hari berikutnya.
Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 pada Jumaat memberitahu, model pelancongan sandbox bagi tiga wilayah itu adalah untuk memastikan kelangsungan sektor pelancingan yang terjejas teruk, terutamanya selepas program pelancongan bebas kuarantin, Test & Go, dibekukan sementara.
Itu susulan banyak kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan pengembara dari Amerika Syarikat dan Rusia sejak awal tahun ini, seterusnya membawa kepada kekhuatiran tentang situasi di Phuket.
Sementara persatuan pelancongan Koh Samui berikrar akan menyaring kedatangan pengembara luar dengan lebih ketat, para pengusaha pelancongan di Bangkok dan Pattaya pula tidak berpuas hati apabila mereka langsung tidak termasuk dalam destinasi program sandbox.
Pada Ahad (9 januari), Thailand mencatatkan 8,511 kes baharu COVID-19, iaitu hari keenam berturut-turut menunjukkan peningkatan angka. Pada masa sama, 12 kematian direkodkan dalam tempih 24 jam, menurut Kementerian Kesihatan Awam.