COVID-19: Kes baharu di Thailand melonjak lebih 9,000 kes, Indonesia 38,124 kes
Agensi
Julai 9, 2021 19:01 MYT
Julai 9, 2021 19:01 MYT
BEBERAPA negara jiran di Asia Tenggara menunjukkan situasi penularan COVID-19 yang juga membimbangkan.
Sementara Malaysia hari ini mendedahkan sejumlah 9,180 kes baharu, Thailand pula merekodkan 9,276 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, suatu angka yang menunjukkan lonjakan ketara berbanding 7,058 kes pada hari sebelumnya.
Bangkok Post yang memetik data Kementerian Kesihatan Awam hari ini melaporkan sebanyak 72 kes kematian iaitu yang tertinggi pernah dicatat negara itu. Daripada jumlah itu, 39 daripadanya adalah kes kematian di Bangkok dan mangsa adalah dalam purata usia 66 tahun.
Daripada jumlah jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam itu, 8,998 kes terjadi dalam kalangan populasi umum, manakala 278 dalam kalangan penghuni penjara.
Sejak pandemik bermula awal tahun lalu, Negara Gajah Putih itu sudah merekodkan sejumlah 2,534 kematian dan 317,506 kes jangkitan keseluruhan.
Susulan tu, kerajaan mengenakan langkah ketat, termasuk perintah berkurung, yang akan dikenakan ke atas Bangkok dan lima wilayah lagi bermula Isnin ini sebagai usaha mengekang jangkitan.
Perintah berkurung dari jam 9 malam ke 4 pagi juga akan dikuat kuasa di empat wilayah selatan iaitu Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Yala.
Sementara itu di INDONESIA, sebanyak 38,124 kes COVID-19 baharu dicatatkan dalam masa 24 jam, tidak jauh beza dengan angka pada hari sebelumnya iaitu 38,391 kes iaitu yang tertinggi pernah direkodkan selama republik itu berdepan pandemik.
Dengan demikian, jumlah akumulatif pesakit COVID-19 republik itu kini berjumlah 2,455,912 orang sejak kes pertama pada Mac 2020, lapor Kompas.com.
Kemas kini data dari Satuan Tugas (Satgas) Penanganan COVID-19 kepada media pada petang Jumaat juga menyatakan tentang 871 orang yang meninggal dunia, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian di Negara Garuda itu sebanyak 64,631 orang.