COVID-19: Kes baharu di A.S melonjak ke tahap tertinggi
Astro Awani
Disember 30, 2021 08:42 MYT
Disember 30, 2021 08:42 MYT
SELEPAS setahun vaksin dilancarkan, kes baharu COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) terus melonjak ke paras tertinggi dengan 265,000 sehari secara purata.
Rekod itu disumbangkan sebahagian besarnya oleh varian Omicron yang sangat mudah menular.
Menurut data Johns Hopkins University, kes harian baharu di AS meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh dua minggu lalu, mengatasi paras lama 250,000, yang ditetapkan pada pertengahan Januari.
Versi mutasi virus yang merebak dengan pantas telah menimbulkan kemelut pada sambutan Krismas dan menjelang Tahun Baru, memaksa masyarakat mengecilkan skala atau membatalkan perayaan mereka.
Beribu-ribu penerbangan dibatalkan di tengah-tengah kekurangan kakitangan akibat virus itu.
Ancaman Omicron dan keinginan untuk menghabiskan cuti bersama rakan dan orang tersayang mendorong ramai rakyat Amerika menjalani ujian saringan COVID-19.