COVID-19: Kerajaan UK kekal dengan pelan, gesa ambil dos penggalak
Astro Awani
Oktober 21, 2021 06:59 MYT
Oktober 21, 2021 06:59 MYT
LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mempertahankan pelan COVID-19 musim sejuknya di sebalik jumlah jangkitan tinggi.
Kata Johnson, pelan berkenaan dirangka "sesuai dengan parameter" yang diramalkan oleh kumpulan saintis yang menjadi penasihat kerajaan.
Walaupun demikian, beliau menyeru orang ramai untuk mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19.
"Kami memerhatikan jumlahnya dengan sangat hati-hati setiap hari dan jumlah jangkitan adalah tinggi, tetapi kita berada dalam parameter yang diramalkan sebelum ini.
"Pihak Spi-M dan yang lain telah berkata kita akan berada pada tahap ini berikutan langkah-langkah yang telah kita ambil.
"Oleh itu, kita tetap mengikuti rancangan kita. Saya rasa perkara paling penting yang boleh dilakukan sekarang adalah bagi orang ramai mendapatkan dos penggalak itu," katanya.
Britain sangat bergantung kepada vaksin untuk mencegah virus ini pada musim luruh dan sejuk.
Hampir 80 peratus individu berusia 12 tahun ke atas di UK telah menerima dua dos vaksin dan jutaan lagi diberi tawaran dos penggalak termasuk semua yang berusia lebih dari 50 tahun.
Tambah Johnson, 90 peratus populasi dewasa telah mempunyai antibodi namun ia harus dipertingkatkan.
Bagaimanapun pengkritik berkata, kempen dos penggalak bergerak lebih perlahan daripada virus.
UK mencatatkan hampir 50,000 jangkitan baharu dalam satu hari minggu ini.
Kes berada pada paras 44,000 sehari, meningkat 16 peratus dari minggu sebelumnya.