COVID-19: Kerajaan UK didesak tutup sekolah susulan lonjakan kes baharu

Astro Awani
Januari 3, 2021 12:06 MYT
Seorang lelaki memakai pelitup muka melalui dinding grafiti yang memberi amaran supaya memakai pelitup muka di Lower Newtownards Road, Belfast, Ireland Utara, 1 Jan, 2021. (Foto AP)
KERAJAAN United Kingdom didesak supaya menutup semua sekolah di England sekurang-kurangnya selama dua minggu.
Desakan itu semakin meningkat susulan lonjakan kes baharu COVID-19.
National Education Union yang mewakili lebih 450,000 kakitangan sekolah menggesa agar semua sekolah ditutup.
Menurut Ketua Majlis Greenwich, Danny Thorpe, beliau keliru dengan kenyataan dikeluarkan kerajaan.
"Saya dan sejumlah pemimpin dewan di London sangat keliru dengan kenyataan pada Rabu yang tidak masuk akal bagi kita berdasarkan keputusan dan data yang diterbitkan.
"Oleh itu, kami sangat gembira kerana akhirnya kerajaan telah mendengar kerana ini adalah keputusan yang tepat untuk anak-anak, keluarga dan sekolah kita," katanya.
Setiausaha Pendidikan, Gavin Williamson sebelum ini mengumumkan sekolah rendah di London akan ditutup minggu depan disebabkan kes yang tinggi di ibu kota.
Persatuan itu berkata keputusan penutupan sekolah adalah baik namun membantah keputusan awal membenarkan beberapa sekolah dibuka semula di kawasan jangkitan tinggi.
UK menghadapi lonjakan tinggi kes baharu COVID-19 disebabkan varian baharu virus itu yang dikatakan mempunyai 70 peratus lebih tinggi kadar penularan berbanding varian asal.
#sekolah #tutup #COVID-19 #London #England #United Kingdom #pendidikan #varian baharu #kerajaan
;