COVID-19: Kemboja benar rakyat terima suntikan 'booster'
Bernama
Ogos 26, 2021 04:30 MYT
Ogos 26, 2021 04:30 MYT
ANKARA: Kemboja membenarkan rakyatnya menerima suntikan dos ketiga atau penggalak (booster) untuk vaksin COVID-19 bagi mencapai "imuniti kelompok sebenar," lapor Agensi Anadolu memetik, Agence Kampuchea Press.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Perdana Menteri Hun Sen berkata dos ketiga itu akan ditawarkan kepada mereka yang berusia 12 tahun ke atas.
"Ia bertujuan untuk mempercepat 'imuniti kelompok sebenar' dicapai, yang menjadi asas utama melindungi masyarakat daripada COVID-19, terutama varian Delta atau varian lain.
"Selain sebagai persiapan untuk rancangan pembukaan semula semua sektor dan kehidupan norma baharu. Kerajaan memutuskan untuk melancarkan dasar suntikan penggalak kepada masyarakat awam yang berusia 12 tahun ke atas," menurut kenyataan itu.
Kempen tersebut akan berlangsung hingga pertengahan 2022, dilaksanakan secara sukarela dan percuma.
Kerajaan juga telah memulakan vaksinasi terhadap kanak-kanak berusia antara 12 dan 17 tahun awal bulan ini, dan dijangka dua juta kanak-kanak akan divaksin menjelang awal November.
Pada Khamis, ia mencatatkan 423 kes baharu COVID-19 dan enam kematian, dengan jumlah keseluruhan mencecah 90,958 kes termasuk 1,841 kematian.
-- BERNAMA